fb fb fb fb fb

50 orang maut dalam serangan Rusia ke institut tentera Ukraine

Foto REUTERS

KIEV, 4 September- Sekurang-kurangnya 50 orang terbunuh dan lebih 270 orang cedera, selepas Rusia membedil sebuah institut ketenteraan di bandar Poltava, tengah Ukraine dengan dua peluru berpandu balistik dan merupakan serangan paling maut tahun ini.

Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky mengarahkan siasatan segera berhubung insiden tersebut. Beliau berkata pihaknya sedang berusaha menyelamatkan mangsa yang terdapat di bawah runtuhan bangunan.

Katanya serangan itu turut itu merosakkan bangunan Institut Perhubungan Tentera.

Dalam pada itu, tentera Ukraine menerusi kenyataan berkata serangan itu memberi tamparan hebat kepada Kiev dalam usaha meningkatkan kekuatan pertahahanan bagi menangkis serangan musuh.

"Komando Angkatan Darat sedang menjalankan siasatan untuk menentukan sama ada cukup dilakukan untuk melindungi nyawa dan kesihatan askar di kemudahan itu," katanya dalam satu kenyataan.

"Penggunaan peluru berpandu balistik yang mengenai sasaran dalam jarak ratusan kilometer dalam beberapa minit selepas dilancarkan menyebabkan mangsa mempunyai hanya sedikit masa untuk mencari perlindungan selepas siren berbunyi", kata Kementerian Luar.

Rusia telah memperhebatkan serangan peluru berpandu dan dron ke atas Ukraine sejak konflik Rusia-Ukraine, lebih dua tahun lalu.

Minggu lalu Ukraine dilanda pengeboman paling dahsyat setakat ini. Manakala, Ukraine menyasarkan Rusia menggunakan lebih 158 dron pada hujung minggu, serta merosakkan loji penapisan minyak dan stesen janakuasa berhampiran Moscow.

Pertempuran semakin sengit sejak sebulan lalu, selepas tentera Rusia mara di timur Ukraine, manakala tentera Kiev telah melancarkan serangan rentas sempadan berskala besar pertama ke Rusia. Moscow telah berikrar untuk membalas dendam atas pencerobohan ke wilayah Kursk.

Insiden ini bukanlah kali pertama Rusia menyerang kemudahan ketenteraan dan menyebabkan banyak kematian.

Pada Mei 2022, lebih 87 orang terbunuh dalam serangan Rusia yang menyasarkan tempat latihan pasukan simpanan di Bandar Desna. Manakala pada Mac tahun yang sama, 35 orang maut dalam serangan Rusia ke atas pangkalan tentera di barat negara itu.-REUTERS

ROSLINA BINTI DIN