fb fb fb fb fb

300 askar Myanmar larikan diri ke India selepas pemberontak peroleh kemenangan

Foto Reuters

GUWAHATI, 19 Januari - Hampir 300 askar Myanmar menyeberangi sempadan ke India untuk melarikan diri daripada kemaraan pemberontak bersenjata yang memerangi junta negara itu, seorang pegawai separa tentera India memberitahu AFP pada Jumaat.

Pertempuran telah menggegarkan beberapa bahagian Myanmar berhampiran sempadan India sejak Tentera Arakan (AA) menyerang pasukan keselamatan pada November, menamatkan gencatan senjata yang sebahagian besarnya diadakan sejak rampasan kuasa tentera 2021.

Minggu ini, kumpulan itu berkata ia telah mengambil alih bandar utama Paletwa dan enam pangkalan tentera di sepanjang sempadan negeri Mizoram India, dimana tentera telah menyeberang pada Rabu.

Seramai 276 tentera yang membawa senjata dan peluru tiba di perkampungan Bondukbangsora, seorang pegawai dari pasukan separa tentera Assam Rifles, yang enggan mendedahkan namanya, memberitahu AFP.

"Kami telah memberi mereka tempat berlindung di kem kami," katanya sambil menambah bahawa askar yang tiba "diberikan semua sokongan yang mereka perlukan".

Pegawai itu berkata bahawa unitnya sedang mengumpul data biometrik daripada askar dan telah mendapatkan kelulusan daripada kementerian pertahanan di New Delhi untuk mengembalikan mereka ke Myanmar.

Ratusan tentera Myanmar yang lain telah melarikan diri ke India untuk melarikan diri dari pertempuran sejak gencatan senjata berakhir pada November, menurut laporan media tempatan.

Dua pesawat tentera Myanmar tiba di Aizawl, ibu negeri Mizoram untuk mengumpul dan menghantar pulang tentera yang berundur daripada konflik itu.

Pada bulan Oktober, pakatan AA dan dua kumpulan bersenjata etnik minoriti lain melancarkan serangan bersama merentasi negeri Shan utara Myanmar, menawan bandar-bandar dan merampas hab perdagangan penting di sempadan China.

Minggu lalu, pakatan itu mengumumkan gencatan senjata yang ditengahkan oleh China di negeri Shan selepas konflik selama berbulan-bulan yang menjadi ancaman terbesar kepada junta sejak ia merampas kuasa.

Perjanjian itu tidak terpakai di kawasan berhampiran sempadan India di mana pertempuran antara tentera dan pemberontak telah berlarutan.-AFP

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN