CAIRO, 10 April- Tiga anak lelaki Pengerusi Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh terbunuh dalam serangan udara rejim Israel di Gaza.
Tiga beradik iaitu Hazem, Amir dan Mohammad terbunuh selepas kereta yang mereka naiki dibom di kem Al-Shati.
Menurut laporan media tempatan, dua cucu Haniyeh turut terbunuh dalam serangan itu manakala seorang lagi cedera.
Beliau bagaimanapun menegaskan, insiden tersebut tidak akan mempengaruhi pendirian Hamas dalam rundingan gencatan senjata dan pembebasan tebusan.
“Darah anak lelaki saya tidak lebih mahal daripada darah rakyat kita,” Haniyeh, 61, yang mempunyai 13 anak lelaki dan perempuan menurut sumber Hamas, memberitahu TV Al Jazeera.
Menurut sumber terdekat, insiden berlaku ketika tiga anak lelaki dan cucu pemimpin Hamas itu menziarahi keluarga pada hari pertama Aidilfitri di kem Al-Shati, Gaza.
Hamas akan terus memperjuangkan hak rakyat Palestin.
"Tuntutan kami adalah jelas dan spesifik dan kami tidak akan membuat konsesi ke atasnya. Musuh dalam khayalan jika mereka berfikir bahawa menyasarkan anak-anak saya, pada kemuncak rundingan dan sebelum gerakan memberi maklum balas, akan mendorong Hamas mengubah pendirian", kata Haniyeh.
Hamas mahu operasi ketenteraan Israel dihentikan dan pengunduran dari kawasan itu serta kebenaran untuk penduduk Palestin yang dipindahkan pulang ke tanah airnya.
Pelan serangan pada Oktober lalu yang dirangka oleh Majlis Tentera Hamas di Gaza, adalah rahsia yang dikawal rapi sehingga beberapa pegawai Hamas di luar negara kelihatan terkejut dengan skala serangan.-REUTERS