KAHERAH, 10 April- Serangan udara Israel telah membunuh sekurang-kurangnya 29 rakyat Palestin, termasuk kanak-kanak, di sebuah rumah di Shejaia, Gaza, menurut pihak berkuasa kesihatan pada Rabu.
Pasukan perubatan berkata bahawa puluhan yang lain cedera dalam serangan itu yang membedil sebuah bangunan kediaman bertingkat di kawasan timur Bandar Gaza.
Ramai mangsa dipercayai masih hilang dan terperangkap di bawah runtuhan bangunan tersebut, selain beberapa rumah lain yang berhampiran turut mengalami kerosakan.
Sementara itu, tentera Israel dalam kenyataan, menggunakan alasan bahawa serangan dilancarkan terhadap pegawai kanan Hamas yang dituduh bertanggungjawab merancang dan melaksanakan serangan dari Shejaia, utara Gaza, namun tidak mendedahkan identitinya.
Menurut Israel, beberapa langkah telah diambil sebelum serangan itu bagi mengurangkan kemudaratan kepada orang awam.
Dalam pada itu, pihak berkuasa kesihatan melaporkan bahawa sembilan lagi rakyat Palestin terbunuh dalam serangan berasingan oleh tentera Israel di bahagian lain di Gaza, menjadikan jumlah kematian pada Rabu sebanyak 38 orang.
Minggu lalu, tentera Israel telah mengarahkan penduduk Shejaia supaya berpindah, dengan alasan bahawa pasukan tentera zionis akan melancarkan operasi terhadap pejuang Hamas di kawasan tersebut.
Israel telah menyambung semula pengeboman ke atas Gaza pada 18 Mac lalu, selepas gencatan senjata selama dua bulan dan menghantar semula tenteranya ke wilayah itu.
Kementerian Kesihatan kendalian Hamas di Gaza melaporkan bahawa serangan tentera Israel telah membunuh hampir 1,500 rakyat Palestin, dalam tempoh tiga minggu lalu.-REUTERS