BANGKOK, 18 Disember - Tentera Thailand menembak 15 suspek penyeludup dadah dalam satu kejadian berbalas tembakan di daerah utara terpencil berhampiran sempadan Myanmar, kata seorang pegawai tentera pada Isnin.
Kejadian pada petang Sabtu itu berlaku di daerah Mae Fah Luang di wilayah Chiang Rai, berhampiran dengan "Segitiga Emas" tempat pertemuan antara Thailand, Myanmar dan Laos, yang telah sekian lama menjadi hab untuk aktiviti penyeludupan.
Selepas pertempuran itu, pegawai menemui 17 beg mengandungi lebih daripada dua juta tablet dadah jenis amfetamin, kata seorang pegawai tentera kepada AFP.
"Kami belum dapat mengenal pasti sama ada 15 orang itu semuanya warga Thailand atau tidak," katanya yang enggan dikenali.
Myanmar merupakan pengeluar utama amfetamin haram, kebanyakannya dihantar melalui Thailand dan Laos.
Kejadian tembak-menembak antara peronda tentera dan penyeludup dadah bukan perkara asing di kawasan hutan berbukit di sepanjang sempadan utara Thailand dengan Myanmar.
Seorang penyeludup dan pegawai polis terbunuh dalam pertempuran pada September, manakala setahun lalu 15 suspek ditembak mati oleh tentera di Chiang Rai ketika mereka cuba menyeberangi sempadan dengan berjalan kaki.-AFP