MEXICO CITY, 2 Jun - Seramai 12 individu terkorban manakala beberapa lagi cedera dalam kebakaran yang berlaku di sebuah pusat pemulihan dadah di Mexico.
Pihak berkuasa tidak menolak kemungkinan ia mempunyai kaitan dengan aktiviti kartel dadah yang masih aktif di kawasan berkenaan.
Pejabat Pendakwa Negeri Guanajuato berkata punca kejadian masih dalam siasatan.
Kartel sebelum ini dilaporkan sering menyerang pusat pemulihan bagi merekrut pesakit secara paksa.
Pasukan forensik sedang mengumpul bukti dan menemu bual saksi bagi mengenal pasti punca sebenar insiden tragik itu.
Pada April lalu, sekurang-kurangnya sembilan orang terbunuh apabila sekumpulan bersenjata menyerang sebuah pusat pemulihan dadah di negeri Sinaloa.
Pihak berkuasa percaya kartel menyasarkan pesakit yang enggan menyertai kumpulan mereka sebagai sasaran pembunuhan.
Sejak tahun 2006, keganasan berkaitan jenayah terancang telah meragut sekitar 480,000 nyawa di Mexico dan menyebabkan kira-kira 120,000 individu masih hilang. - AFP