
LA NUCIA, 13 Januari – Pelumba basikal Denmark, Jonas Vingegaard mengesahkan akan menyertai Giro d’Italia dan Tour de France musim ini dalam usahanya mencipta sejarah sebagai pelumba kelapan memenangi ketiga-tiga perlumbaan Grand Tour.
- Vingegaard mengesahkan akan menyertai Giro d’Italia dan Tour de France musim ini untuk mengejar kejayaan berganda.
- Kemenangan Vuelta memberi motivasi tambahan dan keyakinan untuk menambah jersi merah jambu Giro.
- Pencapaian berjaya membawa beliau ke kumpulan legenda jika menjuarai ketiga-tiga Grand Tour.
Pelumba pasukan Visma–Lease a Bike itu mengumumkan jadual perlumbaannya pada Selasa sempena hari media pasukan di La Nucia, Costa Blanca, Sepanyol.
Juara Tour de France 2022 dan 2023 itu melengkapkan koleksi kejuaraan Grand Tour tahun lalu apabila menjuarai Vuelta a Espana.
Vingegaard dijadual membuat penampilan sulung di Giro d’Italia dari 8 hingga 31 Mei dan dijangka menjadi antara pilihan utama, terutama dengan ketiadaan pelumba Slovenia, Tadej Pogacar.
Beliau kemudiannya akan memberi tumpuan kepada Tour de France yang berlangsung dari 4 hingga 26 Julai. Namun kali ini, Vingegaard bakal berdepan cabaran getir daripada Pogacar yang merupakan juara bertahan dua kali berturut-turut.
“Saya sudah lama mempertimbangkan untuk berlumba di Giro. Ia antara perlumbaan terbesar dan saya belum pernah menyertainya sebelum ini. Saya benar-benar mahu merasainya dan ini masa yang sesuai,” katanya.
Menurut pelumba berusia 29 tahun itu, kejayaan menjuarai Vuelta memberi motivasi tambahan untuk memburu kemenangan di Itali dan menambah jersi merah jambu dalam koleksi kejuaraannya.
Musim Vingegaard akan bermula di UAE Tour pada 16 Februari sebelum menyertai Tour of Catalonia dari 23 hingga 29 Mac.
Beliau turut memaklumkan pendekatan persiapannya kali ini berbeza berbanding tahun-tahun sebelumnya, dengan laluan Giro yang dianggap sesuai untuk digabungkan bersama Tour de France.
Vingegaard juga berpeluang mengulangi pencapaian Pogacar pada 2024 yang memenangi kedua-dua Giro d’Italia dan Tour de France dalam musim yang sama.
Sekiranya berjaya, Vingegaard akan menyertai senarai legenda berbasikal dunia yang pernah menjuarai ketiga-tiga Grand Tour, termasuk Eddy Merckx, Bernard Hinault dan Chris Froome. -AFP