
KUALA LUMPUR, 7 Mac – Bekas pemain Monster Vicious, Muhammad Danish Fitri Razman atau Unii sah menyertai pasukan Selangor Red Giants (SRG) bagi saingan Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) Liga Profesional Malaysia (MPL MY) musim ini.
- SRG mengekalkan barisan pemain dan jurulatih sedia ada untuk beraksi dalam MPL MY musim ini.
- Pemain dikekalkan: Mark Genzon "Kramm", Muhd Qayyum "Yums", Muhd Haqqullah "Sekys", Haziq Danish "Stormie", John Vincent "Innocent".
- SRG kekal juara bertahan MPL MY, satu-satunya pasukan menang empat kali berturut-turut dalam sejarah liga.
Perkembangan itu diumumkan MPL MY menerusi hantaran dalam media sosial rasmi mereka semalam, yang turut memaklumkan pemain yang beraksi di posisi jungler itu teruja untuk beraksi bersama SRG.
“Berada bersama pemain yang penuh pengalaman memberikan motivasi kepada saya untuk terus belajar dan berkembang menjadi pemain lebih kuat,” kata Uni.
Dalam pada itu, SRG menerusi hantaran dalam media sosial rasmi semalam memaklumkan pasukan itu mengekalkan barisan pemain dan jurulatih sedia ada bagi mengharungi saingan MPL MY musim ini.
Kesemua pemain yang dikekalkan itu ialah Mark Genzon Sojero Rusiana (Kramm), Muhd Qayyum Ariffin Mohd Suhairi (Yums), Muhd Haqqullah Ahmad Shahrul Zaman (Sekys), Haziq Danish Mohd Rizwan (Stormie), dan John Vincent Banal (Innocent).
Bagi barisan kejurulatihan SRG pula diketuai Michael Bocadio (Arcadia) bersama Poon Kok Sing (OzoraVeki) dan Chun Wee (Winter).
Untuk rekod, SRG ialah juara bertahan MPL MY, dan satu-satunya pasukan yang berjaya meraih gelaran itu empat kali berturut-turut dalam sejarah liga berkenaan. – BERNAMA