
LONDON, 18 Mac – Juara bertahan, Paris St Germain (PSG) berada dalam kelas tersendiri apabila membelasah Chelsea 3-0 di Stamford Bridge awal pagi tadi sekali gus melayakkan diri ke suku akhir Liga Juara-Juara dengan agregat kemenangan besar 8-2.
- Luis Enrique bangga; puji pemain mengekalkan momentum, kawalan bola dan serangan balas cepat sebagai kunci kejayaan.
- Pengurus Chelsea Liam Rosenior akui kesilapan awal mematahkan semangat, puji kawalan bola PSG yang menyukarkan kebangkitan pasukannya.
- Khvicha Kvaratskhelia segera menambah gol, Bradley Barcola menyudahkan serangan balas, dan Senny Mayulu, pemain gantian 19 tahun, melengkapkan gol ketiga.
- Chelsea bermain dengan 10 pemain selepas Trevoh Chalobah diusung keluar akibat kecederaan; PSG kini menanti pemenang Liverpool atau Galatasaray.
Jurulatih PSG, Luis Enrique meluahkan rasa bangga atas prestasi luar biasa anak buahnya yang melangkaui jangkaan awal.
“Sudah tentu saya bangga kerana keputusan sebegini di luar jangkaan. Kunci kejayaan hari ini adalah keupayaan mengekalkan momentum permainan. Jika mereka menekan, kami mampu menyimpan bola dan memanfaatkan ruang kosong, terutamanya menerusi serangan balas.
“Kami melakukannya sejak minit pertama dan menjaringkan dua gol. Jika mereka tidak melakukan tekanan tinggi, kami mampu mengawal perlawanan. Ketepatan pemain kami hari ini membolehkan segalanya berlaku,” katanya.
Dalam pada itu, Pengurus Chelsea, Liam Rosenior mengakui kesilapan awal meranapkan impian pasukannya untuk bangkit.
“Baru enam minit perlawanan bermula, kami melakukan kesilapan yang mematahkan semangat pasukan. Gol kedua pula dijaringkan dari jarak 25 ela tepat ke penjuru gol. Apabila ketinggalan dua gol seawal itu dan lima gol secara agregat, ia sangat sukar.
“Malam yang perit. Kami mahu mempamerkan tentangan yang lebih sengit, tetapi pujian harus diberikan kepada PSG. Kawalan bola mereka sangat hebat dan secara keseluruhan, mereka layak mara,” ujar Rosenior.
Wira perlawanan pertama, Khvicha Kvaratskhelia hanya memerlukan kurang enam minit untuk menambah koleksi golnya dalam pusingan ini selepas mengambil kesempatan atas kesilapan pertahanan Chelsea, Mamadou Sarr.
Lapan minit kemudian, Bradley Barcola mengukuhkan kedudukan menjadi 2-0 menerusi penyudah kemas hasil serangan balas pantas, sebelum pemain gantian berusia 19 tahun, Senny Mayulu melengkapkan gol ketiga pada minit ke-62.
Pasukan tuan rumah terus dirundung malang apabila terpaksa beraksi dengan 10 pemain dalam lima minit terakhir selepas pemain pertahanan, Trevoh Chalobah terpaksa diusung keluar akibat kecederaan.
PSG dijadualkan bertemu sama ada Liverpool atau Galatasaray pada peringkat suku akhir bulan depan.-REUTERS