UCL: Misi sukar Liverpool di Istanbul

Foto AFP

ISTANBUL, 9 Mac – Liverpool bakal kembali ke Istanbul awal pagi Rabu ini dengan misi menebus maruah apabila berkunjung ke kubu kuat Galatasaray pada pertembungan pusingan kalah mati Liga Juara-Juara (UCL).

RINGKASAN BERITA AI
  • Slot berdepan tekanan hebat selepas prestasi hambar sejak akhir September; Liverpool kini menduduki tangga keenam liga.
  • Liverpool pernah tewas 0-1 kepada Galatasaray dalam fasa liga UCL sebelum ini, meninggalkan memori pahit.
  • Florian Wirtz pulih sepenuhnya dan Alexis Mac Allister dijangka sedia diturunkan.
  • Galatasaray bersemangat selepas menyingkirkan Juventus dan menewaskan Besiktas, serta memiliki kelebihan besar di RAMS Park.

Skuad kendalian Arne Slot itu kini berdepan tekanan hebat selepas prestasi hambar dalam saingan Liga Perdana Inggeris sejak akhir September lalu dan menduduki tangga keenam.

Kepulangan ke Istanbul membawa memori pahit buat The Reds selepas tewas 0-1 kepada lawan yang sama dalam fasa liga UCL sebelum ini.

Hanya kemenangan dilihat mampu meredakan kritikan penyokong terhadap Slot susulan kemerosotan prestasi pasukan.

Liverpool menerima suntikan semangat apabila perancang tengah, Florian Wirtz dilaporkan pulih sepenuhnya selepas diletakkan di bangku simpanan ketika kemenangan menentang Wolverhampton Wanderers dalam aksi Piala FA, Jumaat lalu.

Pemain tengah Argentina, Alexis Mac Allister yang sebelum ini mengalami kecederaan ringan juga dijangka dapat diturunkan.

Sementara itu, Galatasaray yang dibimbing Okan Buruk dilihat mahu mengekalkan momentum selepas berjaya menyingkirkan gergasi Itali, Juventus, dalam pusingan play-off.

Moral pendahulu Super Lig Turkiye itu terus berada di tahap tinggi apabila menewaskan musuh setempat, Besiktas 1-0 pada Sabtu lalu.

Bermain di Stadium RAMS Park juga bakal memberikan kelebihan besar buat Galatasaray yang memiliki rekod cukup ampuh di gelanggang sendiri, manakala Liverpool terdesak untuk membuktikan mereka masih merupakan pencabar utama di pentas tertinggi Eropah.-AFP