
MANCHESTER, 18 Mac – Jurulatih Real Madrid, Alvaro Arbeloa menegaskan kualiti dan kerja keras pemain menjadi faktor utama kejayaan gergasi Sepanyol itu melangkah ke suku akhir Liga Juara-Juara selepas menyingkirkan Manchester City awal pagi tadi.
- Real Madrid menang 2-1 di Etihad, membawa agregat akhir 5-1.
- Vinicius Jr menjaringkan penalti selepas rujukan VAR, Silva dilayangkan kad merah, dan Vinicius sempurnakan kemenangan pada minit ke-93.
- Pep Guardiola memuji semangat pasukannya walau beraksi 10 pemain; berjanji belajar daripada kekalahan dan kembali lebih kuat.
Menerusi aksi timbal balik di Stadium Etihad, Real juara 15 kali kejohanan elit Eropah itu mengesahkan tempat ke kelompok lapan terakhir dengan kemenangan 2-1 untuk melakar agregat 5-1.
“Pemain yang telah mengubah keadaan ini menerusi persembahan, sikap, usaha, dan sudah tentu bakat serta kualiti mereka. Menang di sini bukan sesuatu yang mudah,” kata Arbeloa.
“Sangat sedikit orang yang berani menjangkakan kami akan memenangi kedua-dua perlawanan. Terima kasih kepada pemain atas usaha gigih mereka,” tambahnya.
Sementara itu, pengurus City, Pep Guardiola tetap mempertahankan semangat juang pasukannya meskipun terpaksa beraksi dengan 10 pemain seawal babak pertama.
“Kami sentiasa mempamerkan semangat itu. Apabila ketinggalan 3-0 (agregat) kemudian menjadi 4-0 dan terpaksa bermain dengan 10 pemain, ia hampir mustahil. Namun kami akan kembali dengan lebih baik musim depan. Kami akan belajar daripada kelemahan kali ini,” ujar Guardiola.
Vinicius Jr meletakkan pelawat di hadapan menerusi sepakan penalti pada minit ke-22 selepas rujukan Video Bantuan Pengadil (VAR) mendapati Bernardo Silva sengaja menahan bola dengan tangan di atas garisan gol.
Insiden itu turut menyaksikan Silva dilayangkan kad merah.
Walaupun beraksi dengan kekurangan pemain, City tetap berjaya menyamakan kedudukan menerusi Erling Haaland pada minit ke-41 hasil hantaran lintang Jeremy Doku.
Perlawanan sengit pada babak kedua menyaksikan beberapa jaringan daripada Doku, Rayan Ait-Nouri, Federico Valverde dan Vinicius dibatalkan, sebelum Vinicius akhirnya melengkapkan gol kemenangan pada minit ke-93.
Real akan bertemu pemenang perlawanan antara Atalanta dan Bayern Munich yang akan berlangsung awal pagi esok.-REUTERS