
LONDON, 29 Januari – Arsenal menjadi pasukan pertama yang memenangi kesemua lapan perlawanan dalam fasa liga saingan Liga Juara Eropah (UCL), sekali gus mengesahkan kedudukan di tempat teratas.
- Arsenal sah tempat pusingan 16 selepas prestasi cemerlang pada peringkat kumpulan.
- Mikel Arteta puji pemain atas kejayaan memenangi semua perlawanan peringkat kumpulan.
- Kai Havertz kembali dalam kesebelasan utama selepas hampir setahun, memberi dorongan pasukan.
- Kairat tewas dan tamat di tangga tercorot, hanya raih satu mata daripada lapan perlawanan.
Dalam perlawanan terakhir fasa liga awal pagi tadi, The Gunners mencatatkan kemenangan 3-2 ke atas Kairat Almaty dari Kazakhstan.
Anak buah Mikel Arteta sudah pun memastikan tempat ke pusingan 16 terbaik lebih awal, sebelum pusingan akhir perlawanan.
“Saya sangat bangga dengan para pemain rentetan keputusan yang kami capai pada peringkat pertama kejohanan ini.
“Sangat sukar untuk memenangi lapan perlawanan berturut-turut dalam Liga Juara dan anda boleh lihat apa yang berlaku kepada pasukan-pasukan lain,” kata Arteta.
Sementara itu, Kairat menamatkan saingan di tangga tercorot dalam carta 36 pasukan dengan hanya satu mata daripada lapan perlawanan mereka dan sememangnya tidak mampu menyaingi pendahulu Liga Perdana itu.
Kembalinya sentuhan jaringan Kai Havertz boleh menjadi pendorong dan peluang mereka untuk meraih trofi dalam empat kejohanan dalam beberapa bulan akan datang.
“Ia akan memberinya banyak keyakinan, kegembiraan dan juga kepada pasukan.
“Pasukan tahu betapa pentingnya Kai untuk mereka dan bagaimana dia boleh membantu pasukan menjadi jauh lebih baik,” kata Arteta.
Pemain Jerman itu membuat penampilan pertamanya dalam kesebelasan utama selepas hampir setahun, susulan 12 bulan dibelenggu kecederaan. – AFP