Transformasi NBL: BFM sasar nilai komersial lebih RM1 juta

Foto hiasan/ BERNAMA

PUTRAJAYA, 21 Mac – Persekutuan Besbol Malaysia (BFM) mengorak langkah drastik dalam usaha memartabatkan sukan besbol di tanah air menerusi pelan penjenamaan semula Liga Besbol Kebangsaan (NBL).

RINGKASAN BERITA AI
  • BFM sasar nilai komersial NBL melebihi RM1 juta dalam lima tahun melalui suntikan profesional dan peningkatan status liga.
  • Sedang runding kerjasama strategik dengan syarikat automotif terkemuka Jepun untuk suntikan profesional dan tajaan.
  • Transformasi format amatur ke separuh amatur dijangka menarik penyertaan pasukan profesional dan penajaan lebih meluas.
  • Skuad kebangsaan disiapkan untuk East Asia Cup di Manila, fokus rombakan dan barisan pemain muda, sasaran kedudukan empat teratas.

Langkah strategik tersebut bukan sahaja bertujuan mengembalikan kegemilangan sukan berkenaan, malah menyasarkan peningkatan nilai komersial liga sehingga mencecah lebih RM1 juta dalam tempoh lima tahun akan datang.

Presiden BFM, Sazali Husain, mendedahkan pihaknya kini dalam fasa rundingan positif bersama sebuah syarikat automotif terkemuka dari Jepun bagi menjalinkan kerjasama strategik.

“BFM akan mengembalikan liga besbol untuk semua. Ketika ini, kita dalam perbincangan dengan jenama korporat untuk mengembalikan semula liga ini, lebih-lebih lagi menerusi rundingan positif dengan sebuah jenama automotif terkemuka dari Jepun.

“Kita harapkan dengan suntikan profesional daripada jenama ini, kita mampu meningkatkan nilai komersial besbol melebihi RM1 juta dalam masa lima tahun. Kita juga mensasarkan liga kita dinaik taraf daripada amatur kepada status separuh amatur,” jelas beliau.

Inisiatif tersebut merupakan komponen utama di bawah Pelan Induk Kebangsaan Sukan Besbol bagi tempoh lima tahun.

Sejak mula diperkenalkan tahun 2023 , NBL menjadi medan utama dalam mencungkil bakat akar umbi dari pelbagai negeri termasuk Melaka, Perak, Johor, Perlis, dan Kuala Lumpur.

Transformasi daripada format amatur kepada separuh amatur dijangka mampu menarik lebih banyak penyertaan pasukan profesional serta penajaan yang lebih meluas.

Langkah tersebut dilihat sebagai pemangkin bagi memastikan besbol kembali mendapat tempat dalam kalendar sukan tempatan, sekali gus memperkukuh daya saing atlet negara di peringkat antarabangsa.

Dalam perkembangan lain, BFM memaklumkan ia kini memulakan gerak kerja rapi bagi mempersiapkan skuad kebangsaan menjelang kejohanan East Asia Cup di Manila, Filipina, Oktober depan.

Kedudukan empat teratas disasarkan menerusi pertaruhan barisan pemain muda.

Rekod kejohanan East Asia Cup sebelum ini menyaksikan skuad negara berdepan laluan sukar.

Pada edisi 2023 di Bangkok, Malaysia gagal memberikan saingan sengit kepada gergasi serantau.

Malah, pada edisi 2024 di Clark, Filipina, walaupun skuad negara berjaya mencatat kemenangan moral 12-8 ke atas Kemboja, jurang kualiti masih ketara apabila tewas besar kepada pasukan seperti Thailand.

Menyedari hakikat tersebut, Sazali menegaskan rombakan besar-besaran perlu dilakukan.

“Pasukan lelaki akan bersedia sebaik sahaja Syawal berakhir. Mereka akan memasuki kem latihan untuk persediaan ke East Asia Cup yang dijadualkan berlangsung pada Oktober tahun ini di Manila. Kita pasti akan menampilkan satu pasukan baharu kerana kita melihat ramai bakat muda yang berpotensi untuk diserapkan ke dalam pasukan senior,” tambah beliau.

Kejohanan di Manila nanti bukan sekadar medan pendedahan, tetapi misi untuk memperbaiki ranking negara yang pernah melakar sejarah meraih tempat ketiga pada 1999.

Gabungan tenaga baharu tersebut diharapkan mampu menutup jurang penguasaan pasukan kuasa besar seperti Filipina dan Hong Kong.