
KUALA LUMPUR, 6 April – Skuad Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan tampil sebagai TNB ThunderStars apabila pasukan itu membuat penjenamaan semula bagi saingan Liga Hoki Malaysia (TNB MHL) 2026.
- Penjenamaan baharu menunjukkan evolusi dan membezakan pasukan utama daripada skuad pembangunan Thunderbolts.
- Struktur musim 2026 melibatkan dua pasukan: pasukan utama dan skuad pembangunan untuk memperkukuh laluan bakat.
- Pemilihan pasukan utama menggabungkan pemain elit serta bakat terbaik yang digilap melalui program Thunderbolts.
- Nama Thunder melambangkan kuasa dan tenaga, Stars mencerminkan kecemerlangan serta aspirasi prestasi tinggi dan daya saing.
TNB menerusi kenyataan memaklumkan identiti baharu yang diberikan kepada skuad itu merupakan evolusi penjenamaan hoki TNB, yang membezakan pasukan utama daripada skuad pembangunan Thunderbolts.
“Struktur Pasukan Musim 2026 untuk musim ini, TNB menurunkan dua pasukan: TNB ThunderStars sebagai pasukan utama dan TNB Thunderbolts sebagai skuad pembangunan.
“Pemilihan pemain ThunderStars merangkumi pemain elit serta bakat terbaik yang digilap melalui program Thunderbolts, mencerminkan kesinambungan laluan pembangunan TNB,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu memaklumkan nama “Thunder” melambangkan kuasa dan tenaga, manakala “Stars” mencerminkan kecemerlangan serta status elit pasukan TNB selain penjenamaan itu menggambarkan aspirasi TNB untuk mengekalkan standard prestasi tinggi dan daya saing dalam liga.
TNB ThunderStars akan membuka tirai kempen menentang juara bertahan MHL, Terengganu Hockey Team (THT) pada 11 April dalam aksi Piala Sumbangsih, manakala TNB Thunderbolts akan berdepan UiTM HA-KPT bagi perlawanan pembukaan liga. – BERNAMA