
KUALA LUMPUR, 3 Februari – Selangor FC meluahkan rasa kesal dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang tingkah laku segelintir penyokong pasukan itu yang melanggar undang-undang dan mengancam keselamatan orang ramai.
- Selangor FC kesal terhadap insiden penyokong di Jambatan Angkat Kuala Terengganu sebelum perlawanan.
- Kelakuan itu dianggap melanggar undang-undang dan bertentangan nilai pasukan serta komuniti bola sepak.
- Kelab berharap insiden menjadi iktibar dan penyokong amalkan budaya sokongan yang bertanggungjawab.
- 33 individu dipercayai penyokong ditahan; PDRM Terengganu dipuji atas tindakan menjaga keselamatan awam.
Selangor FC menerusi kenyataan hari ini menegaskan perbuatan berkenaan bertentangan dengan nilai yang diperjuangkan pasukan itu serta komuniti bola sepak negeri tersebut.
“Selangor FC kesal terhadap insiden membabitkan segelintir penyokong di Jambatan Angkat Kuala Terengganu sebelum perlawanan Liga Super menentang Terengganu FC, pada Ahad lalu.
“Kami berharap insiden ini menjadi iktibar dan penyokong terus mengamalkan sikap bertanggungjawab demi mewujudkan budaya sokongan bola sepak yang positif,” menurut kenyataan itu.
The Red Giants turut merakamkan penghargaan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) Terengganu atas tindakan tegas bagi menjaga keselamatan awam.
Terdahulu, seramai 33 individu dipercayai penyokong Selangor FC ditahan dan dibawa ke Mahkamah Majistret bagi mendapatkan perintah reman susulan kejadian perarakan dengan membawa bendera pasukan dan menyalakan suar di Jambatan Angkat Kuala Terengganu kira-kira 6.30 petang pada Ahad.