Terbuka Romania: Van de Zandschulp, Navone tempah slot separuh akhir

Pemain pilihan ketiga, Fabian Marozsan mara ke separuh akhir Terbuka Romania./REUTERS

BUCHAREST, 4 April – Botic van de Zandschulp, Mariano Navone, Fabian Marozsan dan Daniel Altmaier mengesahkan slot ke peringkat separuh akhir kejohanan tenis Terbuka Romania selepas masing-masing mempamerkan aksi cemerlang.

RINGKASAN BERITA AI
  • Fabian Marozsan menundukkan Daniel Altmaier 6-2, 7-6(5).
  • Daniel Merida mara ke separuh akhir Jelajah ATP buat kali pertama selepas lawannya, Titouan Droguet, menarik diri akibat kecederaan.
  • Mariano Navone bangkit selepas ketinggalan set pertama, menewaskan Alex Molcan 3-6, 6-2, 6-3.
  • Botic van de Zandschulp menang mudah ke atas Damir Dzumhur 6-3, 6-3.

Pemain pilihan ketiga, Fabian Marozsan, memulakan hari dengan langkah kanan apabila melengkapkan pusingan ketiga yang tertangguh akibat hujan.

Beliau berjaya menundukkan wakil Greece, Stefanos Sakellaridis, dengan keputusan 7-6(3), 7-5.

Kejohanan turut menyaksikan kejutan apabila pemain Perancis, Titouan Droguet, menyingkirkan pilihan kelima, Sebastian Baez, 6-4, 6-4.

Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi Droguet apabila beliau terpaksa menarik diri akibat kecederaan dalam aksi suku akhir menentang Daniel Merida ketika ketinggalan 1-3 di set ketiga.

Kemenangan itu membolehkan Merida dari Sepanyol, mara ke separuh akhir Jelajah ATP buat kali pertama dalam kariernya.

Beliau dijadualkan bertemu Marozsan yang sebelum itu menumbangkan pilihan keenam, Daniel Altmaier, 6-2, 7-6(5).

Dalam satu lagi perlawanan menyaksikan pilihan ketujuh, Mariano Navone, bangkit daripada ketinggalan set pertama untuk menewaskan pemain kelayakan Slovakia, Alex Molcan, 3-6, 6-2, 6-3.

Terdahulu, Molcan mengejutkan ramai pihak apabila menyingkirkan pilihan utama, Gabriel Diallo, di pusingan kedua.

Sementara itu, Botic van de Zandschulp tidak berdepan masalah besar apabila menang mudah menentang wakil Bosnia, Damir Dzumhur, menerusi keputusan straight set 6-3, 6-3 untuk melengkapkan senarai empat pemain terbaik kejohanan. – REUTERS