
KUALA LUMPUR, 13 Januari – Pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia tersingkir awal pada Kejohanan Badminton Terbuka India 2026 selepas tewas pada pusingan pertama hari ini.
- Lee Zii Jia tersingkir pada pusingan pertama Terbuka India 2026 selepas tewas kepada Rasmus Gemke dalam tiga set.
- Beliau mula lemah dengan kalah 13-21, menangi set kedua 21-18 tetapi tewas penentuan 18-21.
- Ini adalah kekalahan pusingan pertama kedua musim ini selepas tersingkir di Terbuka Malaysia minggu lepas.
- Beliau masih dalam proses bangkit selepas menarik diri Masters China 2025 untuk pemulihan kecederaan belakang dan buku lali.
Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik 2024 itu dilihat masih tercari-cari rentak permainan terbaik apabila kecundang dalam pertarungan tiga set menentang wakil Denmark, Rasmus Gemke pada aksi yang berlangsung di Kompleks Sukan Indira Gandhi.
Zii Jia memulakan perlawanan dengan langkah kurang kemas apabila tewas 13-21 pada set pertama sebelum bangkit mencatat kemenangan 21-18 pada set kedua, namun gagal mengekalkan momentum apabila akur dengan kekalahan 18-21 pada set penentuan.
Ia adalah penyertaan kedua Zii Jia musim ini selepas turut tersingkir pada pusingan pertama Terbuka Malaysia minggu lepas.
Atlet kelahiran Kedah itu dalam usaha membina momentum kemunculan semula selepas menarik diri pada pusingan pertama Masters China 2025 pada September lepas bagi memberi tumpuan kepada pemulihan masalah kesihatan dan kecergasan.
Ia susulan kecederaan belakang yang dialami tahun lepas serta kecederaan buku lali berlarutan sejak Final Jelajah Dunia BWF pada Disember 2024. -BERNAMA