
MELBOURNE, 16 Januari – Pemain tenis nombor satu dunia, Carlos Alcaraz memberi amaran bahawa beliau bersedia untuk menamatkan kemarau gelaran Terbuka Australia dan menjadikannya sasaran utama musim 2026.
- Alcaraz sasarkan menamatkan kemarau gelaran Terbuka Australia sebagai fokus utama musim 2026.
- Terbuka Australia masih kekal sebagai satu-satunya Grand Slam yang belum dimenangi oleh Alcaraz.
- Kejayaan di Melbourne boleh menjadikan Alcaraz pemain termuda menjuarai keempat-empat Grand Slam.
- Alcaraz cakap persiapan pra-musim berjalan baik dan dia berada dalam keadaan fizikal yang bagus.
Jaguh dari Sepanyol itu merupakan antara calon pilihan utama bersama juara bertahan dua kali, Jannik Sinner dari Itali yang juga seteru utamanya di pentas dunia.
Terbuka Australia merupakan satu-satunya kejohanan Grand Slam yang belum pernah dimenangi Alcaraz, dengan pencapaian terbaiknya sekadar mara ke suku akhir pada edisi 2024 dan 2025.
Sekiranya berjaya menjulang kejuaraan di Melbourne Park tahun ini, Alcaraz bakal mengatasi rekod rakan senegaranya, Rafael Nadal sebagai pemain termuda memenangi kesemua empat gelaran Grand Slam.
Nadal mencapainya ketika berusia 24 tahun.
Alcaraz yang kini berusia 22 tahun akan memulakan kempen menentang pemain tuan rumah Adam Walton yang berada di ranking ke-79 dunia.
Sementara itu, Alzaraz berkata beliau tidak sabar untuk memulakan saingan.
“Saya fikir ini adalah sasaran utama saya tahun ini,” kata Alcaraz yang hanya menjalani satu aksi pemanas badan menerusi perlawanan pertunjukan menentang Sinner di Korea Selatan.
“Saya rasa persiapan pra-musim sangat baik dan kini berada dalam keadaan fizikal yang bagus. Saya benar-benar mahu meraih gelaran dan mencatat keputusan cemerlang di sini,” katanya.
Beliau turut menyatakan keterujaan menjelang permulaan kejohanan dan sedang melakukan persiapan sebaik mungkin bagi menghadapi cabaran di Melbourne.
Ketika ditanya sama ada beliau sanggup menukar tiga gelaran Grand Slam lain tahun ini dengan satu kejuaraan Terbuka Australia, Alcaraz mengakui sukar membuat pilihan.
“Saya tidak tahu yang mana satu menjadi pilih. Melengkapkan Grand Slam kerjaya adalah sesuatu yang luar biasa, dan menjadi yang termuda melakukannya adalah lebih bermakna.” menurutnya. – AFP