
KUALA LUMPUR, 12 Oktober – Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mahu beregu wanita utama negara Pearly Tan-M. Thinaah melakar lebih banyak gelaran kejohanan antarabangsa.
- Pearly Tan–M. Thinaah menjuarai Terbuka Artik 2025 selepas menewaskan pasangan Jepun 21-7, 21-9.
- Tengku Zafrul puji semangat juang, fokus dan kerja keras pasangan wanita itu.
- Kemenangan menebus kekalahan tahun lalu kepada pasangan China dalam final edisi terdahulu.
- Pearly–Thinaah kini memiliki dua gelaran musim ini, termasuk Terbuka Thailand pada Mei.
- Aaron Chia–Soh Wooi Yik raih naib juara; tewas kepada pasangan England, Ben Lane–Sean Vendy.
Perkara itu disuarakan selepas gandingan itu menjuarai Terbuka Artik 2025 di Vantaa, Finland, petang tadi.
Tengku Zafrul menyifatkan prestasi pasangan yang juga naib juara Kejohanan Dunia 2025 itu sebagai luar biasa, selepas mereka menewaskan gandingan Jepun, Rin Iwanaga-Kie Nakanishi, dengan kemenangan bergaya 21-7, 21-9.
“Semangat juang, fokus dan kerja keras yang dipamerkan mereka jelas membuahkan hasil. Teruskan momentum ini dan bawalah pulang lebih banyak kejayaan untuk negara,” katanya menerusi hantaran di laman X.
Kemenangan itu bukan sahaja menambah koleksi kejuaraan mereka musim ini, tetapi juga menjadi penebus kekecewaan tahun lalu apabila tewas kepada pasangan China, Liu Sheng Shu-Tan Ning, dalam perlawanan akhir edisi terdahulu.
Pearly-Thinaah kini mencatat dua gelaran musim ini, selepas terlebih dahulu menjulang trofi Terbuka Thailand pada Mei.
Mereka juga menunjukkan konsistensi tinggi sepanjang tahun dengan muncul naib juara di tiga kejohanan utama – Terbuka Jepun, Terbuka Indonesia, dan Masters Indonesia.
Dalam pada itu, Tengku Zafrul tetap berpuas hati dengan persembahan beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang meraih naib juara dalam kejuaraan sama.
“Kekalahan bukan pengakhiran, tetapi titik kebangkitan. Inilah yang kita mahukan dalam setiap atlet—semangat juang yang tidak pernah padam!” tegasnya.
Beliau mahu kedua-dua tonggak negara itu mempertingkatkan latihan dan memperbaiki setiap kelemahan selain terus fokus bagi kejohanan akan datang.
Aaron-Wooi Yik terlepas peluang membawa gelaran berganda untuk negara selepas tewas di tangan wakil England, Ben Lane-Sean Vendy pada pentas akhir.