
KUALA LUMPUR, 15 Februari – Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj mahu memberi fokus terhadap usaha memperkukuh pembangunan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) ketika ini, bukannya bertanding jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
- Tengku Amir Shah mahu fokus memperkukuh pembangunan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), bukan bertanding jawatan Presiden FAM.
- Beliau menekankan pentingnya memperbaiki pengadil, jurulatih dan keseluruhan ekosistem bola sepak, bukan hanya pemain.
- Baginda akan terus menyokong kepimpinan FAM namun sumbangan paling berkesan adalah menerusi peranan bersama FAS.
Perkara itu dinyatakan oleh Tengku Amir Shah ketika ditanya mengenai minatnya terhadap jawatan tertinggi badan induk bola sepak negara itu.
“Oh tidak, saya tidak berminat. Fokus saya adalah Selangor FA. Kita masih mempunyai banyak perkara yang perlu dicapai ketika ini, khususnya dari segi pengadil.
“Saya benar-benar percaya kita boleh melahirkan pengadil yang lebih baik, jurulatih yang lebih baik, bukan hanya tertumpu kepada pemain semata-mata tetapi keseluruhan ekosistem bola sepak,” kata baginda selepas Majlis Pelancaran Buku Gemilang: Sejarah Perjalanan Bolasepak Selangor di Stadium Merdeka.
Tengku Amir Shah menegaskan melalui FAS sumbangan dapat diberikan dengan lebih berkesan bagi memastikan pembangunan bola sepak dapat dilaksanakan secara menyeluruh.
“Melalui FAS di situlah saya fikir saya boleh menyumbang paling banyak. Jadi, fokus saya ketika ini adalah bersama FAS,” katanya.
Dalam pada itu, Tengku Amir Shah turut menyatakan kesediaannya untuk terus menyokong kepimpinan FAM demi kemajuan bola sepak negara meskipun tidak bercadang merebut jawatan presiden.
“Saya akan terus menyokong dan memberikan yang terbaik dalam apa jua peranan yang perlu bagi menyokong bola sepak Malaysia. Namun seperti yang saya katakan, fokus utama saya adalah FAS,” katanya.
Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif Kelantan The Real Warriors (KTRW), Datuk Mohd Irwan Rizal menamakan tiga individu sebagai calon terbaik mampu diketengahkan bagi mengemudi FAM ketika ini.
Tiga individu yang dimaksudkan ialah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.
Katanya, ketiga-tiga kerabat diraja ini memiliki aura serta pengaruh tersendiri bukan sahaja di dalam negara malah di persada antarabangsa.