
PUTRAJAYA, 1 April – Kejayaan pelumba remaja trek sensasi negara Sawda Hasbullah merangkul pingat emas acara ujian masa 1 kilometer kategori remaja wanita dalam Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2026, baru-baru ini adalah satu pencapaian membanggakan.
- Ucapan tahniah dan pujian Dr. Mohammed Taufiq Johari, memuji ketekalan dan mentaliti juara Sawda.
- Sawda mengekalkan kejuaraan tahun lalu dan memecahkan rekod remaja Asia yang dipegangnya sendiri.
- Gagal pertahankan emas pecut tetapi meraih gangsa acara pecut berpasukan bersama Nur Umairah dan Davia.
Pencapaian atlet berusia 18 tahun itu mendapat pujian dan ucapan tahniah daripada Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari.
“Lebih hebat, Sawda mempertahankan kemenangannya dalam edisi tahun lalu dan memecahkan rekod Asia yang dipegangnya.
“Ini membuktikan ketekalan dan mentaliti juara yang sangat luar biasa.
“Sebagai pelapis sukan berbasikal negara, semoga Sawda terus berada dalam kelas tersendiri dalam arena ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Dalam aksi di Velodrom Tagaytay, Filipina Isnin lalu, Sawda merangkul pingat emas dan berjaya memecahkan rekod remaja Asia miliknya dengan catatan masa satu minit 09.604 saat (s).
Rekod lama remaja Asia yang dilakukannya ialah satu minit 10.818s.
Pelumba Korea Selatan Lee Hyun Ji meraih pingat perak, manakala wakil India, S Thabitha memperoleh pingat gangsa.
Sawda bagaimanapun gagal mempertahankan pingat emasnya dalam acara pecut.
Namun beliau turut meraih pingat gangsa bersama Nur Umairah Qhaisara Zulfikha Razak dan Davia Evriel Eriana Azif dalam acara pecut berpasukan remaja wanita.