Tahap kesiapsiagaan venue SUKMA 2026 capai 80 peratus

Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Negeri Selangor Mohd Najwan Halimi (dua,kiri) membawa pulang Obor Sukan Malaysia (SUKMA) ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, hari ini sempena Simbolik Ketibaan Obor Sukan Malaysia 2026 dari Sarawak/ Foto BERNAMA

SEPANG, 7 Januari -Tahap kesiapsiagaan venue bagi penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Selangor, yang melibatkan kerja-kerja naik taraf infrastruktur dan fasiliti sukan di seluruh negeri, kini telah mencapai kira-kira 80 peratus.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pusat Akuatik Darul Ehsan dan Lapang Sasar Menembak Subang sedang dinaik taraf menyeluruh untuk memenuhi standard SUKMA.
  • Kerja penambahbaikan merangkumi kemudahan dan teknologi moden bagi menyegarkan fasiliti hampir 30 tahun usia.
  • Sasaran semua fasiliti siap digunakan menjelang April untuk persediaan penganjuran SUKMA 2026.
  • Obor SUKMA 2026 dilancarkan sebagai simbol kempen promosi merentasi sembilan daerah di Selangor.

Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor Mohd Najwan Halimi berkata persiapan tersebut merangkumi kemudahan sukan di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) serta daerah, yang kini giat menjalani proses penambahbaikan.

Mohd Najwan turut memaklumkan bahawa dua venue utama yang sedang melalui proses naik taraf secara menyeluruh ialah Pusat Akuatik Darul Ehsan (PADE) di Seksyen 13, Shah Alam, dan Lapang Sasar Menembak Subang.

“Kalau kita lihat Pusat Akuatik (PADE), kali terakhir ia digunakan untuk SUKMA adalah pada 1998 dan dibuka pada 1997, hampir 30 tahun lalu. Ini merupakan kerja-kerja naik taraf utama selepas tempoh hampir 30 tahun, yang melibatkan penambahbaikan dari segi kemudahan serta teknologi.

“Insya-Allah, menjelang bulan April ini, kita sasarkan semua kemudahan dan fasiliti sukan berada dalam keadaan siap digunakan untuk penganjuran SUKMA 2026 nanti,” katanya pada sidang media Majlis Simbolik Ketibaan Obor SUKMA 2026 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, hari ini.

Obor tersebut dibawa bersama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sekretariat SUKMA Datuk Mohd Yazid Saari sebagai simbolik menandakan bermulanya kempen dan promosi serta kemeriahan SUKMA 2026 yang dijadual berlangsung dari 15-24 Ogos depan.

Obor SUKMA 2026 akan dibawa menjelajah ke sembilan daerah di Selangor sebagai sebahagian daripada rangka kempen untuk menyemarakkan promosi penganjuran kali kedua Selangor menjadi tuan rumah temasya sukan dwitahunan itu.

Terdahulu, satu majlis penyerahan obor SUKMA 2026 kepada Selangor sebagai tuan rumah pada edisi ke-22 berlangsung di Kuching, Sarawak yang merupakan tuan rumah edisi lepas pada 2024.

Sejumlah 474 acara melibatkan 37 jenis sukan akan dipertandingkan pada edisi kali ini, manakala Para SUKMA 2026 yang dijadual berlangsung dari 5-14 Sept, mempertandingkan 10 jenis sukan.- BERNAMA