Sultan Perak berkenan sertai larian Hari Harimau Sedunia

Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 2 Ogos – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan mencemar duli pada majlis larian bersempena Hari Harimau Sedunia bagi menyokong usaha pemuliharaan Harimau Malaya yang kini berada di ambang kepupusan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Run for Tigers anjuran WWF-Malaysia dan Maybank bertema The Long Run, menekankan pemuliharaan jangka panjang.
  • Sophia Lim berkata masih ada harapan walaupun Harimau Malaya berstatus Kritikal Terancam, usaha pemuliharaan mesti diteruskan.
  • Kerjasama antara agensi kerajaan, komuniti Orang Asli, pertubuhan pemuliharaan dan pihak berkepentingan diperkukuh.
  • Kamera perangkap di Hutan Simpan Diraja Belum merakam anak harimau pada 2022 dan 2025, memberi harapan pemulihan populasi.

Baginda turut berkenan menyertai Fun Walk sejauh 2.5 kilometer bersama para peserta sebagai tanda komitmen terhadap usaha melindungi spesies harimau yang semakin terancam.

Acara Run for Tigers anjuran World Wide Fund for Nature Malaysia (WWF-Malaysia) dan Maybank bertemakan The Long Run itu mengetengahkan mesej bahawa usaha pemuliharaan merupakan komitmen jangka panjang yang memerlukan ketabahan, kerjasama dan sokongan berterusan.

Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif WWF-Malaysia, Sophia Lim menyatakan harapan masih ada untuk menyelamatkan Harimau Malaya meskipun spesies itu berada pada status kritikal terancam.

“Hari ini adalah Hari Harimau Sedunia, yang diraikan bersama-sama seluruh rakyat Malaysia daripada pelbagai lapisan masyarakat. Harimau Malaya masih berada dalam status Kritikal Terancam, namun masih ada harapan.

“Kita telah melihat tanda-tanda yang sangat positif, tetapi kita juga sedar bahawa usaha untuk memulihara Harimau Malaya tidak boleh dihentikan. Kita perlu meneruskan usaha ini secara berterusan kerana harimau merupakan khazanah negara kita yang amat bernilai,” katanya.

Beliau berkata pengumuman terbaharu kerajaan turut menunjukkan usaha pemuliharaan jangka panjang negara mula membuahkan hasil.

Menurutnya, kerjasama antara agensi kerajaan, komuniti Orang Asli, pertubuhan pemuliharaan dan pihak berkepentingan tempatan terus diperkukuh bagi memastikan kelangsungan hidup Harimau Malaya di habitat semula jadinya.

Di Hutan Simpan Diraja Belum, usaha perlindungan yang dilaksanakan secara konsisten telah menunjukkan perkembangan positif apabila kamera perangkap berjaya merakam kehadiran anak harimau pada 2022 dan sekali lagi pada 2025, sekali gus memberikan harapan baharu terhadap pemulihan populasi spesies itu.

Sementara itu, Ketua Hal Ehwal Korporat Kumpulan Maybank merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Maybank, Izlyn Ramli berkata kerjasama selama sedekad antara Maybank dengan WWF-Malaysia membuktikan kejayaan boleh dicapai menerusi sokongan serta kerjasama pelbagai pihak.

“Bersempena sedekad kerjasama kami dengan WWF-Malaysia, kami amat berbesar hati melihat sambutan luar biasa terhadap Run for Tigers. Acara ini membuktikan apa yang mampu dicapai apabila organisasi, komuniti, agensi kerajaan dan individu berganding bahu demi matlamat yang sama,” katanya.

Acara itu menarik penyertaan kira-kira 4,000 peserta dalam kategori larian lima kilometer dan 10 kilometer, sekali gus mencerminkan sokongan orang ramai terhadap usaha pemuliharaan habitat Harimau Malaya.

Sultan Nazrin merupakan antara penaung WWF-Malaysia yang terus memainkan peranan penting dalam memperkukuh usaha pemuliharaan hidupan liar, khususnya Harimau Malaya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.