SUKMA 2026: 350 atlet, jurulatih Kelantan tamat kem motivasi

350 kontinjen SUKMA Kelantan selesai sertai kem motivasi tiga hari bermula 2 April lepas./FB MSN Negeri Kelantan

KOTA BHARU, 6 April – Sebanyak 320 atlet dan 30 jurulatih yang akan mewakili Kelantan pada Sukan Malaysia (SUKMA) ke-22 di Selangor, telah selesai mengikuti kem motivasi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kontinjen Kelantan menamatkan kem motivasi tiga hari sebagai persiapan menghadapi SUKMA 2026.
  • Kem memberi tumpuan kerjasama, jati diri, disiplin, slot psikologi, motivasi serta program antidoping untuk kesiapsiagaan mental dan emosi atlet.
  • SUKMA 2026 berlangsung 15 hingga 24 Ogos di Selangor dengan perasmian di Litar Antarabangsa Sepang; Para SUKMA pada 5 hingga 10 September.

Penolong Pegawai Sukan Majlis Sukan Negeri Kelantan, Muhammad Aiman Hakim Amir berkata kem motivasi yang berlangsung selama tiga hari bermula pada 2 April, merupakan persiapan pihaknya kepada atlet bagi menghadapi temasya dwitahunan itu.

“Kem motivasi ini ialah inisiatif kami bagi membentuk kerjasama antara atlet, jurulatih dan pihak pengurusan, selain membentuk jati diri dan disiplin tinggi kepada mereka yang terlibat.

“Malah, pengisian kem ini juga turut melibatkan slot psikologi, motivasi dan antidoping untuk atlet,” katanya.

Muhammad Aiman Hakim berkata kesemua atlet yang menyertai kem berkenaan bukan sahaja perlu bersiap sedia dengan latihan fizikal dan taktikal, malah persiapan dari segi mental serta emosi turut diberi tumpuan, terutama ketika berdepan dengan cabaran daripada atlet negeri lain.

“Kem ini secara tidak langsung dapat memupuk semangat juang tinggi bagi mencapai sasaran pingat yang ditetapkan pihak pengurusan sukan masing-masing,” katanya.

Sebanyak 30 jenis sukan akan disertai kontinjen Kelantan kali ini, antara olahraga, renang, bola jaring, angkat berat, Muay Thai, badminton, futsal dan memanah.

Ditanya tentang sasaran pingat pada temasya kali ini, beliau berkata pihak pengurusan belum lagi mengumumkan secara rasmi atas beberapa faktor.

SUKMA 2026 akan berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos dengan upacara perasmian di Litar Antarabangsa Sepang, manakala temasya Para SUKMA bermula pada 5 hingga 10 September.- BERNAMA