Sukan SEA 2027: Skuad memanah sasar empat pingat emas

Presiden Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM), Datuk Abdul Hamid Hasan/Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 25 Februari – Skuad memanah kebangsaan menyasarkan empat pingat emas pada temasya Sukan SEA 2027 dengan kelebihan beraksi selaku tuan rumah dilihat mampu menjadi pemangkin kepada pencapaian itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sasaran empat pingat emas: dua dalam compound dan dua dalam recurve untuk Sukan SEA 2027.
  • Penggunaan status tuan rumah sebagai kelebihan dari segi sokongan, venue dan persiapan.
  • Indonesia dijangka pencabar utama berasaskan rekod konsisten mereka di rantau ini.
  • Pemilihan atlet berdasarkan prestasi semasa dan konsistensi di kejohanan domestik serta antarabangsa.

Presiden Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia, Datuk Abdul Hamid Abdul Hasan berkata, sasaran itu melibatkan dua emas dalam acara compound dan dua lagi dalam recurve berdasarkan penilaian prestasi semasa atlet negara.

“Kita memang sasarkan empat emas, dua compound dan dua recurve. Sekurang-kurangnya kita mahu capai tiga emas sebagai minimum,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Kerja di Majlis Sukan Negara (MSN), di sini, hari ini.

Beliau berkata, kelebihan beraksi di laman sendiri perlu dimanfaatkan sepenuhnya terutama dari segi sokongan penyokong, keserasian venue serta persiapan yang lebih tersusun berbanding edisi terdahulu.

Menurutnya, Indonesia dijangka menjadi pencabar utama berdasarkan rekod konsisten mereka mengungguli acara memanah di rantau ini.

Bagaimanapun, Malaysia menunjukkan peningkatan positif apabila beberapa wakil negara berjaya mara ke pentas final dalam kejohanan terdahulu meskipun tidak semua aksi penentuan memihak kepada kontinjen negara.

Pemilihan atlet bagi temasya itu akan dibuat berdasarkan prestasi semasa serta tahap konsistensi dalam kejohanan domestik dan antarabangsa.