Sukan SEA 2027: Acara tenis berpasukan perlu dikekalkan

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 27 Febuari – Ketua jurulatih skuad tenis negara, Muliyadi Jamal menyarankan agar acara tenis berpasukan lelaki dan wanita dikekalkan pada Sukan SEA Malaysia 2027, susulan peluang lebih cerah untuk menyumbang pingat menerusi kategori berkenaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Memohon agar acara berpasukan lelaki dan wanita dikekalkan di Sukan SEA 2027 untuk peluang pingat lebih cerah.
  • Acara berpasukan dianggap memberi kelebihan strategik dan konsisten menyumbang pingat setiap edisi.
  • Perlu peningkatan peruntukan bagi memperkukuh persiapan atlet dan pendedahan antarabangsa lebih agresif.
  • Sasaran hantar pemain ke 15–20 kejohanan setahun untuk kumpul mata ranking dunia dan kekal kompetitif.

Beliau memaklumkan perkara itu disuarakan dalam mesyuarat bersama Majlis Sukan Negara yang membincangkan cadangan awal senarai acara bagi temasya berkenaan.

“Saya mohon supaya acara berpasukan lelaki dan wanita dikekalkan. Bagi acara individu, ia akan diputuskan kemudian dan persatuan akan berbincang dengan Majlis Olimpik Malaysia serta MSN.

“Kalau boleh kita kekalkan tujuh acara seperti di Bangkok sebelum ini, tetapi disebabkan sasaran menjadi juara keseluruhan, mungkin ada acara yang akan dikurangkan,” katanya selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kerja 2026 di MSN.

Muliyadi menegaskan acara berpasukan memberi kelebihan strategik kepada skuad negara yang konsisten menyumbang pingat pada setiap edisi Sukan SEA.

Dalam masa sama, beliau memohon peningkatan peruntukan bagi memperkukuh persiapan atlet termasuk pendedahan antarabangsa secara lebih agresif.

Sasaran beliau adalah menghantar pemain menyertai antara 15 hingga 20 kejohanan setahun bagi mengumpul mata ranking dunia.

Muliyadi turut memaklumkan pihaknya menerima tawaran latihan daripada Persekutuan Tenis Kazakhstan, namun beberapa kos perlu ditanggung sendiri.

“Anggaran kos program selama sebulan melibatkan lima pemain lelaki dan lima wanita adalah antara RM60,000 hingga RM100,000, termasuk penerbangan, penginapan, makan minum serta elaun jurulatih dan atlet,” katanya.

Menurutnya, sokongan kewangan yang lebih kukuh amat penting bagi memastikan skuad tenis negara kekal kompetitif dan mampu merealisasikan sasaran pingat di laman sendiri pada 2027.