
KUALA LUMPUR, 18 Mei – Kempen TNB Liga Hoki Malaysia (MHL) 2026 bagi kategori Premier berehat sementara bagi memberi laluan kepada persiapan skuad kebangsaan The Speedy Tigers menghadapi tiga kejohanan utama iaitu Piala Negara-Negara, Piala Dunia dan Sukan Asia.
- 34 pemain dipanggil menjalani latihan pusat bagi memperkukuh persiapan skuad kebangsaan.
- Tiga pemain remaja, Safwan Salihe, Rahuul Fazrien dan Nabil Irfan, diberi pendedahan di peringkat senior.
- Pasukan berkampung 41 hari di Afrika Selatan, jalani lima perlawanan persahabatan, sasar layak ke separuh akhir Piala Negara-Negara.
Liga dijadual bersambung semula pada Oktober 2026 selepas tamat temasya Sukan Asia.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan, Datuk Najmi Razak berkata, bagi menggalas misi penting dalam tiga kejohanan utama tersebut, 34 pemain telah dipanggil menjalani latihan pusat dalam memperkukuh persiapan skuad negara.

Menurut beliau, tiga pemain muda daripada Skuad Remaja Lelaki Kebangsaan turut diberi peluang iaitu Safwan Salihe, Rahuul Fazrien dan Nabil Irfan sebagai pendedahan di peringkat senior.
“Ini antara pembaikan pasukan yang kami ketengahkan iaitu memberikan pendedahan terbaik kepada pemain remaja dan kami mahukan dengan segala pengalaman yang mereka dapat, mereka mampu untuk memimpin pemain remaja yang lain.
“Bukan itu sahaja, kami mahu pastikan, pemain-pemain remaja apabila diperlukan untuk menggalas tugas kebangsaan, mereka bersedia menyahut cabaran tersebut selain jurang antara pemain-pemain ini dengan pemain senior lain tidak terlalu jauh,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) hari ini.

Datuk Najmi berkata, satu pengorbanan besar dituntut daripada barisan pemain yang akan ke Afrika Selatan bagi menghadapi Kejohanan Piala Negara-Negara pada 11 hingga 20 Jun ini.
Menurutnya, The Speedy Tigers terpaksa meninggalkan keluarga dan berkampung selama 41 hari bagi mempersiapkan pasukan menjelang Kejohanan Piala Dunia dan Sukan Asia.

“Selepas Piala negara-Negara, pasukan akan menjalani lima siri perlawanan persahabatan menentang Afrika Selatan dan sesi pemantapan pasukan untuk mengeratkan lagi persefahaman antara pemain.
“Mereka dijangka pulang ke Kuala Lumpur pada 14 Julai sebelum terbang ke Belgium bagi Kejohanan Piala Dunia,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jurulatih pasukan lelaki kebangsaan, Brendon Carolan memaklumkan, pemilihan pemain dibuat berdasarkan prestasi semasa dan tahap kecergasan, dengan pemantauan rapi terhadap saingan TNB MHL serta sesi latihan pusat.
Beliau menegaskan setiap pemain perlu sentiasa bersedia kerana tiada tempat yang kekal dalam skuad kebangsaan, selain meletakkan sasaran untuk layak ke separuh akhir Piala Negara-Negara.