
LISBON, 18 Februari – Penyerang Real Madrid, Kylian Mbappe menggesa UEFA mengambil tindakan tegas termasuk menggantung pemain Benfica, Gianluca Prestianni susulan dakwaan mengeluarkan kata-kata berunsur perkauman terhadap Vinicius Jr.
- Mbappe gesa UEFA ambil tindakan tegas termasuk penggantungan terhadap Gianluca Prestianni susulan dakwaan kata-kata berunsur perkauman.
- Perlawanan dihentikan 11 minit mengikut protokol antiperkauman selepas insiden itu berlaku selepas gol kemenangan Vinicius.
- Benfica dan Prestianni nafikan dakwaan sementara Vinicius luahkan kekecewaan, menegaskan perkauman bukan perkara baru baginya.
Insiden itu berlaku sejurus Vinicius menjaringkan gol kemenangan 1-0 dalam aksi playoff pertama Liga Juara EUFA di sini. Pengadil menghentikan perlawanan selama 11 minit mengikut protokol antiperkauman.
Mbappe mendakwa dia mendengar sendiri kata-kata berbaur perkauman itu dan hampir meninggalkan padang sebagai tanda protes, namun dipujuk Vinicius untuk meneruskan permainan.
Menurutnya, insiden berkenaan tidak boleh dipandang ringan kerana Liga Juara adalah pentas bola sepak tertinggi dunia dan perlu menjadi contoh kepada penonton, khususnya golongan muda.
Prestianni setakat ini tidak mengeluarkan kenyataan rasmi, manakala pihak Benfica memaklumkan pemain itu menafikan dakwaan terbabit.
Vinicius pula meluahkan kekecewaan menerusi media sosial, sambil menegaskan bahawa tindakan perkauman bukan perkara baharu yang dihadapinya sepanjang beraksi di Sepanyol.-REUTERS