
KOTA KINABALU, 9 Februari – Sabah FC berjaya memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri dengan menewaskan PDRM FC, 2-0 dalam aksi suku akhir pertama Piala Cabaran MFL di Stadium Likas, di sini malam tadi.
- Gol pembukaan Sabah FC pada minit ke-53 oleh Dane Ingham hasil hantaran Ernesto Amantegui.
- Fergus Tierney menggandakan kedudukan pada minit ke-58 untuk menjadikan 2-0.
- Sepakan penalti Darren Lok pada minit ke-73 diselamatkan Nor Hakeem, menafikan jaringan ketiga.
- Alto Linus mahu tingkatkan rentak permainan; PDRM akui bergelut pada 15 minit pertama separuh masa kedua.
Kedua-dua pasukan tampil agresif untuk menjaringkan gol, namun keputusan kekal tanpa jaringan sehingga tamat separuh masa pertama.
Memasuki babak kedua, gol pertama Sabah FC hadir pada minit ke-53 apabila hantaran Ernesto Amantegui (Aman-Tegi) berjaya disambut Dane Ingham.
Selang lima minit kemudian, pasukan tuan rumah sekali lagi menjaringkan gol melalui penyerang Fergus Tierney menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke 58.
Skuad Sang Badak hampir menambah jaringan ketiga selepas diberi sepakan penalti pada minit ke-73 apabila penyerangnya, Darren Lok dijatuhkan pemain tengah PDRM, Muhammad Fakhrul Azim di kawasan kotak penalti.
Bagaimanapun, sepakan penalti yang dilakukan Darren sendiri itu dapat ditampan Nor Hakeem, sekali gus menggagalkan harapan skuad kendalian Alto Linus untuk menambah satu lagi jaringan.
Pemangku Ketua Jurulatih Sabah FC, Alto Linus menyasarkan untuk melangkah ke peringkat seterusnya, namun mengakui rentak permainan para pemain perlu dipertingkatkan.
“Para pemain perlu belerjasama sebagai satu pasukan dalam mempamerkan aksi lebih cemerlang. Kita juga tahu selepas perlawanan menentang Melaka, kita tidak mempunyai perlawanan seperti yang dilalui PDRM sebelum ini. PDRM pula mempunyai satu perlawanan menentang Kuala Lumpur,,” katanya.
Sementara itu, Penolong Ketua Jurulatih PDRM FC, Kavichelvan Vivekandanthan mengakui pasukannya berdepan kesukaran pada 15 minit pertama separuh masa kedua, khususnya dalam mengawal tekanan dan serangan bertali arus daripada Sabah FC.
“Pada 15 minit pertama separuh masa kedua, kami bergelut untuk mengendalikan tekanan daripada pasukan Sabah, terutamanya di bahagian sayap yang sering mempunyai kelebihan jumlah pemain.
“Situasi seperti ini perlu kami perbaiki. Secara keseluruhan, masih banyak perkara yang perlu kami lakukan menjelang perlawanan timbal balik,” katanya.