Russell sahut cabaran F1 di Miami

George Russell/ REUTERS

MIAMI, 16 April – George Russell menuju ke perlumbaan Miami dengan penuh keyakinan apabila menyatakan jentera serta enjin baharu Mercedes kini lebih serasi dengan kekuatan pasukan dalam usaha kembali mencabar kejuaraan Formula Satu (F1).

RINGKASAN BERITA AI
  • Russell tetap yakin setelah perlumbaan Jepun, percaya pasukan kini cukup kukuh untuk kembali mencabar gelaran musim ini.
  • Tempoh rehat dimanfaatkan untuk mengatur semula rancangan sebelum menghadapi hujung minggu perlumbaan yang dijangka mencabar.
  • Litar Miami pantas dan lancar, bahagian akhir sempit membuka peluang potongan, cuaca panas atau hujan boleh memainkan peranan.

Pelumba Britain itu berkata perlumbaan mencabar di Jepun tidak menjejaskan keyakinan sebaliknya beliau melihat pakej keseluruhan pasukan kini cukup kukuh untuk bersaing bagi gelaran musim ini menjelang aksi seterusnya di Florida.

“Kami mempunyai kumpulan jurutera dan pereka yang hebat. Sebelum ini, kami agak bergelut dengan peraturan lama, namun peraturan baharu bersama jentera dan enjin baharu ini lebih selari dengan kekuatan pasukan.

“Keinginan untuk membawa Mercedes kembali ke puncak menjadi pemangkin kepada prestasi kami ketika ini,” katanya.

Beliau menyifatkan tempoh rehat selepas Grand Prix Jepun sebagai peluang terbaik untuk mengatur semula rancangan sebelum menghadapi hujung minggu yang dijangka mencabar.

Dalam pada itu Russell turut memberi penghargaan kepada rakan sepasukannya, Kimi Antonelli yang mempamerkan prestasi cemerlang pada awal musim ini, namun menegaskan cita-citanya untuk bergelar juara dunia masih kekal utuh.

“Saya masih ingat ketika berusia 19 tahun, mengejar impian yang sama — dan sehingga kini saya masih memburu impian untuk menjadi juara dunia F1,” katanya.

Mengulas mengenai litar Miami, Russell berkata trek itu pantas dan lancar, dengan bahagian akhir lebih sempit sering membuka peluang memotong yang menarik.

Beliau turut menyatakan faktor cuaca panas serta kemungkinan hujan di Florida Selatan boleh memainkan peranan penting, walaupun sebelum ini keadaan cuaca buruk sering tidak menjejaskan perlumbaan.- REUTERS