RM60,000 Bantuan MADANI disalurkan kepada 19 badan sukan di Labuan

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Lo Su Fui (berdiri, tujuh kanan) pada Majlis Penyampaian Bantuan MADANI Kepada Badan Sukan di Wilayah Persekutuan Labuan/ BERNAMA

LABUAN, 8 Februari – Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) melalui Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP) menyalurkan Bantuan MADANI berjumlah RM60,000 kepada 19 badan sukan di pulau bebas cukai itu bagi tahun ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Bantuan RM60,000 disampaikan oleh Timbalan Menteri Datuk Lo Su Fui kepada 19 badan sukan di Labuan.
  • Penerima ditekankan untuk menegakkan integriti, tadbir urus baik serta mengemas kini dokumen dan rekod kewangan.
  • Sistem penarafan bintang diperkenalkan sebagai penanda aras kecekapan, dengan empat atau lima bintang layak insentif.

Bantuan berkenaan disampaikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Lo Su Fui di Plaza Berpayung, Kompleks Sukan Laut Antarabangsa Labuan, di sini hari ini.

Lo berkata bantuan pentadbiran itu merupakan dana amanah yang memerlukan penerimanya menegakkan integriti serta mengamalkan tadbir urus yang baik.

Beliau berkata Bantuan MADANI yang disalurkan secara tahunan itu hanya diberikan kepada pertubuhan sukan yang berdaftar dan aktif di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Katanya badan-badan sukan turut diingatkan mengenai penilaian penarafan bintang yang bakal dilaksanakan tahun depan.

“Saya ingin mengingatkan semua badan sukan di Labuan supaya memastikan urusan pentadbiran sentiasa dikemas kini, termasuk pengurusan dokumen, kewangan dan rekod pencapaian di peringkat kebangsaan serta antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata sistem penarafan itu menjadi penanda aras bagi kecekapan pengurusan serta meningkatkan daya saing dan kredibiliti badan-badan sukan, sekali gus memastikan kecemerlangan sukan di Wilayah Persekutuan.

Lo berkata badan-badan sukan yang mencapai penarafan empat atau lima bintang layak untuk mendapat pengiktirafan serta insentif khas.

Sementara itu, majlis penyampaian Bantuan MADANI kepada badan-badan sukan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya akan berlangsung 8 April ini. -BERNAMA