PSM rangka pelan strategik 2026, perkukuh pembangunan sepak takraw negara

Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd Sumali Reduan (kiri) / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 8 Januari – Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) telah mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi pada 7 Jan 2026 bagi menilai prestasi sukan sepak takraw sepanjang tahun 2025 serta merangka perancangan strategik bagi menghadapi cabaran tahun 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ucapan tahniah kepada pasukan kebangsaan atas pingat emas berpasukan dan regu di Sukan SEA 2026.
  • Penghargaan kepada penyokong di seluruh negara atas sokongan dan doa berterusan.
  • Malaysia dipilih tuan rumah Piala Dunia Sepaktakraw 2026 di Kuala Lumpur, melibatkan 26 negara.
  • NSTDP diperkasakan untuk meluaskan pembangunan pemain lelaki dan wanita serta melahirkan pemain pelapis.
  • Perancangan kursus dan bengkel kejurulatihan serta pengadilan sepanjang 2026 bagi memperkukuh kapasiti teknikal.

Dalam satu kenyataan, Setiausaha Agung PSM Datuk Abidullah Salleh berkata mesyuarat berkenaan turut merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada Pasukan Sepaktakraw Kebangsaan atas kejayaan mencipta sejarah memenangi pingat emas acara berpasukan dan regu pada Sukan SEA 2026 di Thailand.

Menurut beliau, PSM turut menzahirkan penghargaan kepada para peminat dan penyokong di seluruh negara atas sokongan serta doa berterusan sehingga kejayaan berkenaan dapat dicapai.

Bagi tahun 2026, PSM memaklumkan beberapa kejohanan utama di peringkat kebangsaan dan antarabangsa akan dianjurkan, antaranya Piala Emas Khir Johari, Piala Tun Ali, Sukan Asia 2026 serta Liga Sepaktakraw (STL) 2026.

Selain itu, Malaysia turut diberi mandat oleh Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia Sepaktakraw 2026 di Kuala Lumpur, yang dijangka melibatkan penyertaan 26 negara, bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026.

PSM turut merakamkan penghargaan kepada ISTAF atas pengiktirafan yang diberikan kepada Mohd Syahir Rosdi yang dinobatkan sebagai Pemain Tekong Terbaik Dunia.

Dalam aspek pembangunan, Program Pembangunan Sepaktakraw Negara (NSTDP) akan terus diperkasakan bagi memperluaskan pembangunan pemain lelaki dan wanita di seluruh negara, selain melahirkan lebih ramai pemain pelapis di peringkat negeri dan kebangsaan.

PSM juga merancang penganjuran kursus serta bengkel kejurulatihan dan pengadilan sepanjang tahun ini bagi memberi peluang kepada lebih ramai individu menceburi bidang kejurulatihan dan pengadilan sepaktakraw.

Menurut kenyataan itu, PSM berharap tahun 2026 akan terus menyaksikan pembangunan mampan serta kejayaan berterusan sukan sepaktakraw negara di peringkat serantau dan antarabangsa.