
KUALA LUMPUR, 14 Februari – Dunia sukan permotoran negara mencipta sejarah apabila pasukan Double R Motorsport (DRM) melancarkan program karting musim penuh di Eropah, sekali gus menjadi pasukan Malaysia dan Asia pertama bersaing dalam kejuaraan utama di benua itu.
- DRM melancarkan program karting musim penuh di Eropah, menjadi pasukan Malaysia dan Asia pertama bersaing di kejuaraan utama benua itu.
- Fokus jangka panjang adalah membuka laluan pelumba Asia ke pentas Eropah dengan pangkalan operasi yang kukuh di sana.
- Strategi menumpukan pada peningkatan berterusan pelumba dan pasukan, bukan semata-mata pencapaian musim pertama.
Musim 2026 menyaksikan DRM akan beraksi dalam platform paling kompetitif termasuk Siri WSK (OK/OKNJ), Siri Eropah IAME, Kejuaraan Karting Sepanyol serta Kejuaraan Karting Dunia.
Kempen dibuka dengan penyertaan IAME Winter Cup di Valencia, Sepanyol, sebelum ke IAME Warriors Final 2026 di Viterbo, Itali.
Pemilik DRM, Mohd Rohairijaz Mohd Ropin, menyifatkan langkah itu sebagai strategi jangka panjang untuk membuka laluan pelumba Asia ke pentas Eropah.
“Kami harap dengan adanya pangkalan di Eropah, operasi membawa pelumba ASEAN untuk berlumba di sana menjadi lebih mudah. Mereka sudah kenal dengan struktur pasukan kami, mudah untuk berkomunikasi dan berbincang mengenai kategori, kejuaraan dan rancangan latihan bagi setiap pelumba. Matlamat utama kami adalah untuk mempunyai pangkalan yang kukuh di sana,” katanya.
Rohairijaz menegaskan fokus pasukan bukan sekadar pencapaian musim pertama, tetapi kepada proses peningkatan berterusan bagi pelumba dan keseluruhan pasukan.
Eropah diiktiraf sebagai pusat perkembangan karting antarabangsa, melahirkan ramai pelumba yang kini beraksi di Formula 4, Formula 3, Formula 2 dan Formula 1.