
KUALA LUMPUR, 27 Februari – Pemain badminton perseorangan wanita profesional Goh Jin Wei mencapai kata sepakat dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk menyertai skuad negara dalam kempen Piala Uber 2026 di Denmark dari 24 April hingga 3 Mei.
- Goh Jin Wei telah bersetuju menyertai skuad negara untuk Piala Uber 2026 di Denmark.
- BAM mengesahkan semua pemain profesional yang dilamar setuju mewakili Malaysia dalam Piala Thomas dan Uber.
- BAM masih menyusun strategi latihan berpusat termasuk kekerapan kehadiran untuk persiapan kejohanan.
Setiausaha Agung BAM Datuk Kenny Goh mengesahkan perkara itu dan berkata kesemua pemain profesional yang dilamar bersetuju untuk menyertai skuad negara bagi kejohanan dwitahunan itu.
“Kita telah mendapat maklum balas semua pemain bebas termasuk Goh Jin Wei. Mereka setuju untuk mewakili negara dalam Piala Thomas dan Uber,” katanya kepada pemberita di Akademi Badminton Malaysia di sini hari ini.
Dalam pada itu, Kenny berkata barisan kejurulatihan masih mengatur strategi bagi kem latihan berpusat untuk mempersiapkan kesemua atlet negara termasuk profesional menjelang Piala Thomas dan Uber 2026.
“Kita dalam proses menguruskan jika mereka mahukan latihan berpusat dan beberapa perkara lain yang perlu. Kita masih berbincang sama ada mereka akan hadir dua kali seminggu atau sebagainya,” katanya.
Selain Jin Wei, perseorangan lelaki profesional negara Lee Zii Jia dan beregu lelaki profesional Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani turut akan menyertai skuad negara pada kejohanan Horsens, Denmark itu. – BERNAMA