Piala Thomas: Skuad negara perlu semai semangat berpasukan

Bekas pemain kebangsaan, Datuk Rashid Sidek /Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 17 Mac – Semangat berpasukan dan kepercayaan antara pemain, menjadi kunci utama kejayaan Malaysia untuk merampas semula Piala Thomas.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kejohanan berpasukan sukar diramal; kekuatan individu tidak cukup.
  • Keputusan mengejut seperti India juara Piala Thomas tunjukkan ketidakpastian perlawanan berpasukan.
  • Malaysia berpotensi tamatkan kemarau 34 tahun dengan barisan pemain sedia ada.
  • Sokongan padu semua pihak penting; percayai pemain yang kerap menyertai kejohanan.

Pandangan itu disuarakan legenda badminton negara, Datuk Rashid Sidek.

Menurutnya, kejohanan berpasukan sering menyaksikan keputusan di luar jangkaan, sekali gus membuktikan kekuatan individu sahaja tidak mencukupi.

“Dalam kejohanan berpasukan, apa sahaja boleh berlaku. Kadang-kadang pasukan yang nampak lemah menang, manakala yang nampak kuat pula tewas.

“Contohnya, siapa sangka India boleh muncul juara Piala Thomas,” katanya.

Mengulas peluang Malaysia menamatkan kemarau 34 tahun, Datuk Rashid optimis sasaran itu mampu direalisasikan dengan barisan pemain sedia ada.

“Malaysia sebenarnya ada potensi untuk menang kerana pasukan mempunyai kualiti tersendiri.

“Kita kena percaya dengan pasukan kerana kebanyakan pemain yang dipilih adalah mereka yang kerap menyertai kejohanan setiap bulan,” katanya.

Beliau turut menyeru semua pihak agar terus memberi sokongan padu kepada skuad negara.

Piala Thomas dijadual berlangsung di Horsens, Denmark dari 24 April hingga 3 Mei depan. – Bernama