Piala Malaysia: Pan Gon optimis Selangor FC miliki kelebihan

Reaksi Ketua Jurulatih Selangor FC, Kim Pan Gon (kanan) pada perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia 2025-26 di Stadium MBPJ./foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 6 April – Ketua Jurulatih Selangor FC, Kim Pan Gon optimis pasukan itu mempunyai kelebihan menjelang aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia 2025-2026 menentang Kuching City FC pada 18 April ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Selangor menguasai dan mengawal permainan tetapi gagal menterjemahnya menjadi gol bersih.
  • Ronald Ngah Wanja menyempurnakan sepakan penalti untuk Kuching pada minit ke-42.
  • Moraes menjaringkan gol dari jarak jauh pada masa kecederaan untuk mengikat kedudukan 1-1.
  • Pan Gon kekal positif, mengekalkan rekod tanpa kalah 14 perlawanan bersama Selangor.

Pan Gon menyuarakan keyakinan itu selepas skuad Gergasi Merah mempamerkan aksi yang membanggakan ketika terikat 1-1 menentang Kuching City FC pada perlawanan pertama di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Petaling Jaya.

Pengendali dari Korea Selatan itu berkata walaupun gagal melakar kemenangan di laman sendiri, Selangor akan mengekalkan corak permainan menyerang di Kuching.

“Kami mempunyai peluang lebih tinggi berbanding Kuching kerana saya fikir prestasi kami lebih baik. Kami menguasai dan mengawal permainan. Jika pada perlawanan di tempat sendiri mereka mahu menyerang kami, kami gembira.

“Kami akan pergi ke sana dan melihat sama ada mereka menggunakan kelebihan mereka untuk menyerang kami. Ia akan menjadi perlawanan yang baik kerana kami bukan sekadar bertahan, kami juga akan menyerang. Kami mahu menjadikannya perlawanan yang sangat menarik untuk peminat pada perlawanan kedua,” katanya pada sidang media selepas perlawanan semalam.

Pada perlawanan tersebut, Selangor dilihat banyak menguasai permainan, namun dikejutkan apabila Ronald Ngah Wanja menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-42 untuk meletakkan Kuching City FC di hadapan.

Pasukan tuan rumah sebelum itu menyangka mereka telah mendahului, namun jaringan Ahmad Zikri Mohd Khalili pada minit ke-21 dibatalkan selepas semakan VAR.

Ketika Selangor dilihat akan dihukum selepas mempersia-siakan beberapa peluang terbaik, Moraes menjaringkan gol dari jarak jauh pada masa kecederaan untuk mengikat kedudukan seri 1-1, sekali gus mengekalkan rekod tanpa kalah Pan Gon sejak mengambil alih pasukan pada awal Januari.

“Kami mengawal permainan tetapi kami tidak dapat menjaringkan gol atau mencipta peluang yang baik. Itulah masalahnya. Terdapat sedikit nasib yang tidak menyebelahi kami.

“Secara keseluruhannya, ia adalah perlawanan yang sangat sukar dan sengit… namun saya tidak mahu terlalu negatif. Kami mahu kekal positif dan melihat ke hadapan untuk perlawanan kedua di tempat lawan,” kata Pan Gon.

Pan Gon kekal dengan rekod tanpa kalah sepanjang 14 perlawanan bersama Selangor dengan merekodkan 10 kemenangan dan empat keputusan seri dalam semua pertandingan setakat ini.

Selangor seterusnya akan menentang Sabah FC di tempat lawan pada perlawanan Liga Super pada 11 April. – BERNAMA