Piala Malaysia: Kuching City FC, Selangor FC ke separuh akhir

Pemain Kuching City FC Petrus Shitembi cuba melepasi pertahanan DPMM FC pada perlawanan Suku Akhir kedua Piała Malaysia di Stadium Negeri/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 14 Februari– Kuching City FC mara ke pusingan separuh akhir Piala Malaysia 2025-2026 selepas menyingkirkan Brunei DPMM FC, 3-1 di Stadium Negeri Sarawak malam ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kuching City FC mara ke separuh akhir Piala Malaysia selepas menewaskan Brunei DPMM FC 3-1, mengesahkan agregat 6-2.
  • Selangor FC mengesahkan tempat separuh akhir dengan kemenangan besar 5-1 ke atas Negeri Sembilan, agregat 6-1.
  • Gol penting untuk Kuching oleh Ronald Ngah, James Okwuosa dan Gabriel Palmero; Selangor dimotori Faisal Halim, Alvin Fortes, Nooa Laine dan Quentin Cheng.

Sekali gus meraih kemenangan 6-2 secara agregat.

Perlawanan timbal balik suku akhir itu menyaksikan tuan rumah terlebih dahulu membuka jaringan pada minit ke-28 menerusi Ronald Ngah sebelum James Okwuosa menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-69.

Brunei DPMM FC kemudiannya memperoleh gol pertama minit ke-52 menerusi percubaan Hakeme Yazid.

Skuad kendalian Aidil Sharin Sahak terus memanfaatkan kelebihan di laman sendiri dengan melebarkan jaringan menerusi Gabriel Palmero pada minit ke-69, menjadikan kedudukan kekal 3-1 hingga wisel penamat.

Sebelum ini Kuching City membawa pulang bekalan selesa selepas melakar kemenangan 3-1 ke atas Brunei DPMM FC dalam pusingan aksi suku akhir pertama Piala Malaysia di Bandar Seri Begawan.

Pemain Selangor FC Mohamad Faisal Abdul Halim (tengah) meraikan jaringan gol bersama rakan sepasukannya pada perlawanan Suku Akhir Piala Malaysia di Stadium Petaling Jaya / BERNAMA

Turut mengesahkan tempat ke pusingan separuh akhir, Selangor FC yang membelasah Negeri Sembilan FC (NSFC), 5-1 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Sekali gus membolehkan The Red Giants melebarkan kedudukan kepada agregat 6-1, hasil kemenangan 1-0 NSFC dalam aksi suku akhir pertama Piala Malaysia.

Skuad kendalian Kim Pan-gon yang beraksi di laman sendiri memperoleh empat gol pada separuh masa pertama, masing-masing menerusi Faisal Halim (minit ke-2), Alvin Fortes (m-24), Nooa Laine (m-30) dan Quentin Cheng (m-45.).

Bersambung babak kedua, Selangor terus ‘garang’ apabila mendapat gol kelima menerusi jaringan Chrigor Moraes pada minit ke-66.

Gol saguhati NSFC diperoleh pada minit ke-73 selepas Jovan Motika menyempurnakan sepakan penalti.

Kuching City FC dan Selangor FC masing-masing dijadual bertemu dalam pusingan separuh akhir.