Piala Malaysia: Aidil Sharin tagih sokongan menjelang aksi kedua di Kuching

Ketua Jurulatih Kuching City FC Aidil Sharin Sahak yakin sokongan padu penyokong mampu memainkan peranan penting dalam usaha memburu tempat ke final.

KUALA LUMPUR, 6 April – Ketua Jurulatih Kuching City FC Aidil Sharin Sahak mengakui pasukan itu sepatutnya mencatat keputusan yang lebih baik pada aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia 2025-2026 menentang Selangor FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya malam tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kuching City seri 1-1 dengan Selangor; Ronald Ngah penalti, Chrigor Moraes gol penyamaan lewat.
  • Aidil Sharin gesa pemain bina semula keyakinan sebelum aksi liga dan separuh akhir kedua di Kuching.
  • Ketua jurulatih mohon sokongan padu penyokong di Kuching untuk beri lonjakan semangat dan motivasi menjelang aksi kedua.

Aidil Sharin menyuarakan keyakinan itu selepas skuad The Cats berjaya mengikat Selangor 1-1 setelah mendahului pada separuh masa pertama menerusi sepakan penalti penyerang Ronald Ngah Wanja, sebelum dibolosi gol penyamaan Chrigor Moraes pada lewat permainan.

Beliau yang kecewa dengan gol penyamaan itu menggesa anak buahnya segera membina semula keyakinan menjelang pertembungan Liga Super menentang PDRM FC pada 12 April, sebelum aksi separuh akhir kedua menentang Selangor pada 18 April.

“Saya rasa sudah tentu kami berhak untuk menang tetapi seperti yang saya katakan, inilah bola sepak. Kami perlu menerimanya. Kami perlu belajar dan terus memandang ke hadapan.

“Perkara penting ialah kami masih mempunyai satu perlawanan liga minggu depan untuk mendapatkan kembali keyakinan. Kemudian kami akan menentang mereka (Selangor) di laman sendiri,” katanya pada sidang media selepas perlawanan malam tadi.

Sementara itu, Aidil Sharin menyeru penyokong Kuching City hadir memberikan sokongan penuh kerana beliau yakin sokongan padu penyokong tuan rumah mampu memainkan peranan penting dalam usaha mereka memburu tempat ke final.

“Perlawanan seterusnya di Kuching, sudah tentu saya mahu semua penyokong Kuching hadir. Inilah masanya untuk bersorak menyokong Kuching. Itu akan memberi kami lebih lonjakan semangat dan motivasi,” katanya.

Kuching City mempamerkan aksi berdisiplin untuk mengecewakan Selangor sepanjang sebahagian besar perlawanan malam tadi, dengan memanfaatkan peluang apabila Ronald Ngah menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-42 untuk meletakkan pasukan pelawat di hadapan.

Skuad Gergasi Merah sebelum itu menyangka mereka telah memecahkan kebuntuan, namun jaringan Ahmad Zikri Mohd Khalili pada minit ke-21 dibatalkan selepas semakan VAR.

Ketika Kuching City dilihat hampir pasti meraih kemenangan berharga di tempat lawan, Moraes menjaringkan gol dari jarak jauh pada masa kecederaan untuk menafikan kemenangan mereka, sekali gus memaksa keputusan seri 1-1 dan menjadikan saingan masih terbuka menjelang aksi kedua. -BERNAMA