Penyerang Brazil, Rayan sertai Bournemouth

Foto REUTERS

LONDON, 28 Januari – Penyerang Brazil, Rayan telah menyertai Bournemouth dari Vasco da Gama dengan kontrak lima setengah tahun, menurut kelab Liga Perdana Inggeris itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Rayan, 19, menyertai Bournemouth dari Vasco da Gama dengan kontrak lima setengah tahun.
  • Perjanjian termasuk bayaran permulaan dilaporkan 24.7 juta pound dan bonus 5.6 juta pound.
  • Klausa pelepasan dilaporkan bernilai 100 juta euro.
  • Beliau dijangka menguatkan serangan selepas pemergian Antoine Semenyo ke Manchester City.

Bournemouth tidak mendedahkan butiran kewangan perjanjian terbabit, dengan media British melaporkan bahawa kelab Serie A Brazil itu akan menerima yuran permulaan sebanyak 24.7 juta pound (AS$34 juta) dengan bonus tambahan 5.6 juta pound.

Sky Sports melaporkan perjanjian itu termasuk klausa pelepasan bernilai 100 juta euro (AS$120 juta).

Rayan, 19, membuat 34 penampilan dalam Serie A untuk Vasco da Gama musim lalu, menjaringkan 14 gol ketika pasukan itu menamatkan musim di tempat ke-14.

Dia telah bermain 11 perlawanan untuk pasukan bawah 20 tahun Brazil, menjaringkan dua gol.

Di Bournemouth, Rayan akan memperkukuhkan bahagian serangan susulan pemergian Antoine Semenyo ke Manchester City bulan ini.

“Kami percaya dia mempunyai potensi yang sangat besar dan Bournemouth adalah pilihan yang tepat untuknya meneruskan perkembangann dan memberi impak,” kata Presiden Operasi Bola Sepak Bournemouth, Tiago Pinto dalam satu kenyataan.

Bournemouth, yang minggu lalu meraih kemenangan mengejut 3-2 ke atas juara Liverpool, berada di tangga ke-13 dalam kedudukan Liga Perdana dengan 30 mata.

Mereka akan menentang kelab tercorot, Wolverhampton Wanderers pada Sabtu ini – REUTERS