
KUALA LUMPUR, 10 Februari – Penganjuran Terbuka Malaysia bermula tahun depan dijangka lebih mencabar berikutan penyusunan semula Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) oleh badan induk badminton dunia semalam.
- Penganjuran Terbuka Malaysia dijangka lebih mencabar susulan format baharu 11 hari dan peningkatan hadiah wang.
- BAM menghargai status Super 1000 kerana menjamin kehadiran pemain ranking atas dan perkembangan sukan badminton negara.
- BWF menaikkan hadiah dan meluaskan format kejohanan, termasuk lanjutan pusingan akhir Piala berpasukan kepada 24 pasukan.
Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Kenny Goh berkata tempoh pertandingan yang lebih panjang serta kenaikan hadiah wang kemenangan memberi cabaran lebih besar buat mereka dalam menganjurkan kejohanan bertaraf Super 1000 itu.
“Kami berterima kasih kepada BWF kerana masih mengekalkan kami di World Tour Super 1000 (Terbuka Malaysia) dan World Tour Super 500 (Masters Malaysia). Kita jangka ada cabarannya memandangkan format baharu selama 11 hari dan juga dengan kenaikan wang kemenangan.
“Walau bagaimanapun, kami rasa ini penting untuk pembangunan sukan badminton di Malaysia. Kalau kita dapat mengekalkan status Super 1000, maknanya semua pemain ranking atas wajib datang bermain di Malaysia. Jadi ini satu perkara yang sangat baik untuk Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas sesi latihan di sini hari ini.
Beliau berkata BAM memahami rasional di sebalik langkah BWF menganjurkan kejohanan bertaraf Super 1000 selama 11 hari, iaitu bagi memaksimumkan pendedahan kepada penonton televisyen di seluruh dunia.
Kenny berkata strategi berkenaan sama dengan pendekatan sukan popular lain seperti bola sepak dan tenis yang sentiasa disiarkan di televisyen, sekali gus membantu membina kelompok peminat yang ramai.
Selain Terbuka Malaysia, BWF turut mengekalkan Terbuka China, All England dan Terbuka Indonesia selaku tuan rumah kejohanan Super 1000, manakala Terbuka Denmark dinaik taraf daripada status Super 750 kepada Super 1000 di bawah pembaharuan struktur Jelajah Dunia bermula tahun depan.
Bagi kejohanan Super 1000, acara perseorangan akan melibatkan penyertaan 48 pemain bersaing dalam peringkat kumpulan diikuti pusingan kalah mati, manakala acara beregu pula mengikut format kalah mati membabitkan 32 pasangan.
Setiap kejohanan berlangsung selama 11 hari, merangkumi dua hujung minggu dengan kesemua 1,095 perlawanan daripada kejohanan Super 1000 akan disiarkan secara global.
BWF juga memaklumkan hadiah wang tunai ditingkatkan bagi semua peringkat kejohanan, dengan Super 1000 menawarkan AS$2 juta (RM7.87 juta), meningkat daripada AS$1.45 juta (RM5.71 juta) pada 2026.
Hadiah untuk Super 750 pula meningkat kepada AS$1.1 juta (RM4.33 juta) daripada AS$950,000 (RM3.74 juta), manakala acara Super 500 meningkat kepada AS$560,000 (RM2.2 juta) daripada AS$500,000 (RM1.97 juta).
Sementara itu, pusingan akhir Piala Sudirman dan Piala Thomas serta Piala Uber akan diperluas daripada 16 ke 24 pasukan, sekali gus membuka lebih banyak penyertaan antarabangsa dan mempelbagaikan persaingan.- BERNAMA