
SEREMBAN, 8 Februari – Faizi atau dikenali sebagai Buakaw dari Negeri Sembilan tampil dominan dalam aksi Kejohanan Muay Thai : Matrix War Belt 2026 apabila berjaya menewaskan Dikmiy Rembo (Kedah) dalam perlawanan utama.
- Negeri Sembilan berkuasa dengan beberapa kemenangan termasuk Buakaw, Firdaus dan Humairah menunjukkan dominasi negeri itu.
- Beberapa KO dramatik dari wakil Selangor seperti Aron dan Jeremy menaikkan intensiti kejohanan.
- Peserta dari pelbagai negeri bersaing sengit, mencerminkan persaingan kuat antara negeri dalam Matrix War Belt 2026.
Pada perlawanan pembukaan, Aron Abunju (Selangor) mempamerkan aksi bertenaga untuk mencatat kemenangan knockout (KO) ke atas Izzat (Negeri Sembilan), sekali gus membuka tirai kejohanan dengan penuh bergaya.
Pertarungan kedua menyaksikan Firdaus dari Negeri Sembilan mengalahkan Wan Kasturi (Melaka).
Jeremy Abunju (Selangor) kemudiannya mencuri tumpuan apabila menewaskan Mikey (Perlis) menerusi KO pada perlawanan ketiga, sebelum Humairah (Negeri Sembilan) menunjukkan penguasaan teknikal untuk menang ke atas Qaseh Asyera (Melaka) dalam perlawanan keempat.
Dalam pertarungan kelima, Syawal Hakim (Johor) mencatat kemenangan ke atas Acap (Kedah), manakala Ainol pula mengatasi Tze Abunju (Selangor) pada perlawanan keenam.