
KUALA LUMPUR, 9 April – Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mencipta sejarah baharu selepas saingan domestik kini secara rasmi diperkenalkan ke platform digital global menerusi kerjasama strategik dengan gergasi permainan video, Konami, dalam siri eFootball.
- Malaysia kini negara ketiga Asia mempunyai liga rasmi dalam eFootball, setanding Jepun dan Thailand.
- Sebanyak 13 kelab Liga Malaysia ditampilkan dalam permainan, mencerminkan kekuatan serta kepelbagaian liga tempatan.
- Pelayan khas di Malaysia dan penganjuran eFootball Championship 2026 Malaysia Cup memperkukuh pengalaman dalam talian dan pembangunan bakat baharu.
Inisiatif tersebut membuka lembaran baharu dalam usaha mentransformasikan bola sepak tempatan ke era digital, sekali gus memperluas capaian Liga Malaysia ke peringkat antarabangsa.
Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Mohd Shazli Shaik Mohd berkata, menerusi platform eFootball, peminat kini berpeluang berinteraksi secara lebih dekat dengan pasukan kegemaran mereka dalam dunia maya, termasuk mengemudi kelab pilihan dalam saingan kompetitif global.
“Ini merupakan kolaborasi strategik yang sangat positif antara MFL dan Konami. Usaha gigih ini akhirnya berjaya membawa prestij Liga Malaysia ke arena e-permainan global.
“Malaysia kini muncul sebagai negara ketiga di Asia selepas Jepun dan Thailand yang mempunyai liga rasmi di dalam eFootball. Kehadiran Liga Malaysia melengkapkan lagi ekosistem bola sepak negara di platform digital Konami, selepas penyertaan skuad Harimau Malaya sebelum ini,” katanya dalam sidang media selepas majlis pelancaran MFL x Konami di sini hari ini.
Sebanyak 13 kelab Liga Malaysia ditampilkan dalam permainan berkenaan, antaranya Johor Darul Ta’zim (JDT), Selangor FC, Terengganu FC dan Sabah FC, sekali gus mencerminkan kekuatan serta kepelbagaian liga tempatan di pentas digital.
Selain itu, penyediaan pelayan (server) khas di Malaysia dijangka meningkatkan pengalaman permainan dalam talian yang lebih lancar, sekali gus memperkukuh pembangunan ekosistem e-sukan negara.
Ia turut disokong dengan penganjuran eFootball Championship 2026 Malaysia Cup yang bakal menjadi platform utama bagi mencungkil bakat baharu dalam arena sukan elektronik.
Kerjasama tersebut bukan sahaja mengangkat profil Liga Malaysia di peringkat global, malah dilihat mampu menarik minat generasi muda yang kini lebih cenderung kepada dunia digital dan permainan video.
Majlis pelancaran tersebut turut dihadiri Presiden MFL, Datuk Ab Ghani Hassan, barisan kepimpinan liga, wakil Konami Digital Entertainment serta duta eFootball Malaysia, Safee Sali.