MFL benarkan trio pemain warisan JDT beraksi di Liga Malaysia

Joao Figueiredo (kanan) antara tiga pemain warisan JDT yang dibenarkan beraksi dalam saingan Liga Malaysia./BERNAMA

KUALA LUMPUR, 28 Januari – Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengesahkan tiga pemain warisan Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel dibenarkan beraksi dalam mana-mana pertandingan Liga Malaysia.

RINGKASAN BERITA AI
  • MFL mengesahkan tiga pemain warisan JDT dibenarkan beraksi dalam mana-mana pertandingan Liga Malaysia.
  • Keputusan susulan pengesahan CAS membenarkan permohonan Penangguhan Pelaksanaan.
  • FIFA sebelum ini mendapati pelanggaran Artikel 22 FDC melibatkan pemalsuan dokumen.
  • FAM dan pemain didenda; hukuman gantung 12 bulan kekal sehingga rayuan muktamad.

Keputusan itu dibuat susulan keputusan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) yang membenarkan permohonan Penangguhan Pelaksanaan.

“MFL mengesahkan telah menerima pemakluman rasmi daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berhubung keputusan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) untuk menangguhkan penggantungan terhadap tujuh pemain warisan di peringkat domestik dan benua secara serta-merta,” menurut kenyataan MFL hari ini.

Sebelum ini FAM memaklumkan semua tujuh pemain warisan Harimau Malaya yang digantung selama 12 bulan oleh FIFA, dibenarkan meneruskan karier mereka serta menyertai aktiviti berkaitan bola sepak sehingga keputusan muktamad rayuan dibuat.

Terdahulu pada 26 September lepas, FIFA mengesahkan FAM dan tujuh pemain warisan negara didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berhubung kesalahan pemalsuan dokumen.

Siasatan mendapati FAM telah menyerahkan dokumen dipercayai dipalsukan untuk mengesahkan kelayakan pemain terbabit hingga membolehkan mereka beraksi ketika Malaysia menewaskan Vietnam 4-0 dalam aksi Kumpulan F pusingan Kelayakan Piala Asia 2027 di sini pada Jun lepas.

Susulan itu, FAM diarahkan membayar denda CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta) manakala setiap pemain didenda CHF2,000 (sekitar RM11,000) serta digantung daripada sebarang aktiviti berkaitan bola sepak selama 12 bulan.

Harapan untuk hukuman itu diringankan tidak kesampaian apabila Jawatankuasa Rayuan FIFA pada 3 November lepas, menolak rayuan FAM dan kesemua pemain sekali gus mengekalkan keputusan Jawatankuasa Tatatertib mengenai pelanggaran serius Artikel 22 FDC.- BERNAMA