Melaka FC tekad perbaiki kedudukan Liga Super

Ketua Jurulatih Melaka FC E Elavarasan/ Foto BERNAMA

MELAKA, 16 Mac – Ketua Jurulatih Melaka FC E Elavarasan menyifatkan kemenangan 2-1 ke atas Kelantan The Real Warriors dalam aksi Liga Super malam tadi sebagai tiga mata yang amat penting bagi memperbaiki kedudukan pasukannya dalam carta liga.

RINGKASAN BERITA AI
  • Melaka bangkit selepas ketinggalan; Ahmed Ayman menjaringkan gol penyamaan, Che Rashid gol kemenangan.
  • Perubahan taktikal dan pertukaran pemain pada babak kedua tingkatkan prestasi pasukan.
  • Melaka akan berdepan Sabah bulan depan dan manfaatkan tempoh selepas Aidilfitri untuk menyusun semula; kini di kedudukan ke-12.

Beliau berkata kemenangan tersebut memberi kelegaan kepada pasukan ketika saingan musim ini semakin menghampiri penghujung dengan hanya lima perlawanan berbaki.

“Dengan baki lima perlawanan, setiap mata sangat penting. Kemenangan ini membantu kita memperbaiki kedudukan dan memberi motivasi kepada pemain untuk terus berjuang dalam baki perlawanan,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan di Stadium Hang Jebat, malam tadi.

Pada perlawanan itu, Kelantan The Real Warriors terlebih dahulu mendahului menerusi jaringan Enzo Nicolas Jacques Celestine pada minit ke-12.

Melaka FC bagaimanapun bangkit menyamakan kedudukan menerusi Ahmed Ayman Shamsaldin Abdalazem pada minit ke-44 sebelum Che Rashid Che Halim menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-66.

Elavarasan berkata pasukannya melakukan beberapa kesilapan pada separuh masa pertama, namun perubahan taktikal serta pertukaran pemain pada babak kedua membantu meningkatkan prestasi pasukan.

Beliau berkata pasukannya dijadual menentang Sabah FC bulan depan di laman sendiri dan tempoh selepas Hari Raya Aidilfitri akan dimanfaatkan untuk menyusun semula pasukan bagi menghadapi baki saingan musim ini.

Sementara itu, jurulatih kecergasan Kelantan The Real Warriors, Kamarul Dinis Kamarudin berkata pemainnya sudah mempamerkan komitmen tinggi sepanjang perlawanan namun nasib tidak menyebelahi mereka.

Beliau berkata pasukan sedikit terkesan dengan faktor keletihan berikutan jadual padat selain perlu mengharungi beberapa perlawanan di luar Kota Bharu dengan tempoh masa yang singkat.

Melaka FC kini berada di kedudukan ke-12 Liga Super dengan 14 mata, hanya satu mata di belakang Kelantan The Real Warriors yang menghuni tangga ke-11 selepas mengumpul 15 mata.- BERNAMA