
AUGUSTA, 11 April – Impian Rory McIlroy untuk menjadi pemain keempat dalam sejarah mempertahankan kejuaraan Masters kini berada di landasan tepat selepas mempamerkan persembahan memukau pada pusingan kedua di Augusta National.
- Melakukan kebangkitan dengan enam birdie dalam tujuh lubang terakhir, termasuk pukulan chip-in pada lubang 17.
- Menamatkan pusingan kedua 7 bawah (65) dan keseluruhan 12 bawah selepas 36 lubang, mendahului enam pukulan.
- Jika kekal sehingga Ahad, beliau akan menyertai Jack Nicklaus, Nick Faldo dan Tiger Woods sebagai juara berturut-turut Masters.
Bintang Ireland Utara itu melakukan kebangkitan luar biasa menerusi deretan enam birdie dalam tujuh lubang terakhir, termasuk satu pukulan chip-in pada lubang 17.
Beliau menamatkan saingan dengan catatan 7-di bawah par 65, sekali gus mengumpul keseluruhan 12-di bawah par selepas 36 lubang.
Catatan pada hari kedua kejohanan menyaksikan McIlroy mendahului dengan jurang selesa enam pukulan, malah lebih baik berbanding skor akhir beliau ketika memenangi jaket hijau pertamanya melalui penentuan playoff tahun lalu.
McIlroy dijadualkan beraksi pada pusingan ketiga bersama pemain Amerika Syarikat, Sam Burns.
Burns berkongsi kedudukan di tempat kedua dengan juara Masters 2018, Patrick Reed.
Reed hampir menamatkan saingan dengan tujuh bawah par sebelum langkahnya terhalang oleh bogey di lubang 18, menyebabkannya sekadar mengumpul enam bawah par secara keseluruhan.
Reed akan digandingkan dengan jaguh England, Justin Rose pada pusingan ketiga.
Ramalan awal mengenai keadaan lapangan yang mencabar ternyata tidak menjadi menjadi halangan apabila sebahagian besar pemain elit berjaya mencatatkan skor yang baik pada pusingan kali ini.
Jika McIlroy berjaya mengekalkan rentak kemenangan ini sehingga Ahad, beliau bakal menyertai kelompok elit dunia bersama Jack Nicklaus (1965-66), Nick Faldo (1989-90), dan Tiger Woods (2001-02) sebagai pemain yang memenangi Masters secara berturut-turut. – REUTERS