
KUALA LUMPUR, 7 April – Seramai 120 anak yatim diraikan dalam Majlis Santunan Raya anjuran Persatuan Sukan Bermotor Malaysia di Rumah Kasih Harmoni di sini, hari ini, sempena sambutan Aidilfitri.
- Program menyemarakkan semangat Aidilfitri melalui perkongsian kegembiraan, kasih sayang dan keprihatinan kepada golongan memerlukan.
- Majlis dihadiri pimpinan MAM termasuk Presiden Tan Sri Mokhzani Mahathir dan Setiausaha Agung S.N. Nanthan serta barisan Exco.
- Acara diisi penyampaian sumbangan serta duit raya untuk menceriakan sambutan Aidilfitri anak-anak yang diraikan.
- MAM menegaskan komitmen sosial, merakam penghargaan kepada pengurusan pusat jagaan, dan berharap lebih inisiatif kebajikan dilaksanakan.
Majlis itu dihadiri Presiden MAM, Tan Sri Mokhzani Mahathir, Setiausaha Agung MAM, S.N. Nanthan serta barisan Ahli Exco persatuan berkenaan.
Program berkenaan diadakan bagi menyemarakkan semangat Aidilfitri melalui perkongsian kegembiraan, kasih sayang dan keprihatinan bersama golongan yang memerlukan.
Selain itu, majlis turut diisi dengan penyampaian sumbangan serta duit raya bagi menceriakan sambutan Aidilfitri anak-anak yang diraikan.
Menurut Tan Sri Mokhzani, sambutan Aidilfitri bukan sekadar perayaan, sebaliknya simbol kesyukuran, kemenangan dan kebersamaan yang perlu dikongsi bersama seluruh lapisan masyarakat.
“MAM bukan sahaja komited dalam pembangunan sukan permotoran negara, malah turut memikul tanggungjawab sosial untuk menyumbang kepada masyarakat, khususnya golongan yang memerlukan.
“Inisiatif seperti ini bukanlah yang pertama dan pastinya bukan yang terakhir bagi MAM untuk terus menyantuni komuniti,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pengurusan Rumah Kasih Harmoni atas komitmen dalam menjaga kebajikan anak-anak serta semua pihak yang menjayakan program berkenaan.
MAM berharap lebih banyak inisiatif kebajikan dapat dilaksanakan pada masa hadapan sebagai usaha berterusan memberi impak positif kepada masyarakat.
