Malaysia optimis kekal sasaran juara Sukan SEA 2027

Foto FB KBSMalaysia

KUALA LUMPUR, 15 Januari– Malaysia kekal optimis untuk mengekalkan gelaran juara keseluruhan pada penganjuran Sukan SEA 2027, meskipun tempoh persiapan semakin singkat.

RINGKASAN BERITA AI
  • KBS dan MSN merangka perancangan rapi dan garis masa jelas untuk persiapan Sukan SEA 2027.
  • Bengkel strategik ditetapkan untuk pemilihan sukan dan sasaran pungutan pingat agar kekal kompetitif.
  • Insentif SHAKAM diumumkan: emas RM20,000, perak RM3,000, gangsa minimum RM1,000.
  • Pusat Atlet di MSN akan diwujudkan untuk sokong pemulihan, kesihatan mental dan persekitaran kondusif.

Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq berkata Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bersama Majlis Sukan Negara (MSN) telah merangka perancangan rapi termasuk penetapan garis masa yang jelas bagi memastikan persiapan atlet berjalan lancar.

Menurutnya, bengkel serta perancangan strategik melibatkan pemilihan sukan dan sasaran pungutan pingat turut dirangka bagi memastikan Malaysia kekal kompetitif.

“Kita sangat optimis untuk mengekalkan kejuaraan. Sasaran itu tidak berganjak dan kita akan memastikan Malaysia menjadi yang terbaik pada Sukan SEA 2027,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Amanat Menteri Belia dan Sukan 2026, bersama atlet dan jurulatih di ibu negara.

Terdahulu, ketika Malaysia menjadi tuan rumah pada 2017, atlet negara yang bersaing mempamerkan prestasi cukup memberangsangkan apabila meraih 145 pingat emas, 92 perak dan 86 gangsa.

Malah, angka itu juga membolehkan Malaysia satu-satunya negara meraih lebih 100 pingat emas jauh meninggalkan Thailand, 72 emas.

Dalam majlis itu, Dr. Mohammed Taufiq turut mengumumkan insentif tambahan Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) kepada atlet negara yang berjaya mencipta kejayaan di sukan dwitahunan itu.

“Semangat atlet negara cukup-cukup hebat dan sebab itu, kita juga mengumumkan insentif di bawah SHAKAM tambahan iaitu minimum RM1,000 (gangsa). Untuk pingat emas RM20,000 dan perak RM3,000,” katanya.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan satu Pusat Atlet (Athlete Center) bakal diwujudkan di MSN bagi menyediakan persekitaran yang kondusif untuk atlet beriadah, berehat dan menjalani proses pemulihan.

Katanya, penubuhan pusat khas itu bertujuan menjaga kesihatan mental atlet yang sering berdepan tekanan tinggi akibat jadual latihan dan kejohanan yang padat.

Menurutnya, pusat berkenaan dilengkapi ruang santai serta aktiviti yang membantu atlet lebih relaks, sekali gus menyokong proses pemulihan selepas tempoh latihan yang panjang.

“Athlete Center ini dibangunkan setanding dengan pusat sukan di negara maju seperti Australian Institute of Sport (AIS) di Australia dan United Kingdom,” katanya.

Beliau turut memaklumkan pusat berkenaan akan dirasmikan pada 5 Februari, sebagai sebahagian usaha berterusan kerajaan memperkukuh kebajikan dan kesejahteraan atlet negara.