
KUALA LUMPUR, 18 Februari– Malaysia B muncul juara keseluruhan Kejohanan Boling Padang Jemputan 7 Negara selepas mengumpul 25 mata dalam saingan yang berlangsung di Stadium Juara, Bukit Kiara, hari ini.
- Malaysia B muncul juara keseluruhan dengan 25 mata selepas prestasi cemerlang di Stadium Juara, Bukit Kiara.
- Beberapa kemenangan penting termasuk Nor Farah Ain di acara wanita perseorangan dan pasangan Naufal-Fadley di pairs lelaki.
- Ketua jurulatih Fairul Izwan anggap empat kemenangan terakhir sebagai permulaan positif menjelang saingan Commonwealth.
Lebih bermakna, apabila kemenangan pasukan Malaysia B itu diiringi kejayaan dua lagi wakil negara masing-masing mewakili Malaysia A dan Malaysia C.
Kejayaan Malaysia B dipacu bekas atlet boling padang nombor satu dunia, Nor Farah Ain Abdullah, yang bangkit selepas tewas 4-12 pada set pertama untuk menewaskan wakil India, Nayamoni Saikia, 12-2 pada set kedua dan memenangi acara wanita perseorangan menerusi tie-break 1-0.
Gandingan Muhammad Naufal Azmi dan Mohamad Fadley Abd Jabal yang mewakili Malaysia B turut menyumbang mata dalam acara pairs lelaki selepas menundukkan pasangan Northern Territory Australia, Alex Brennan-Trystan Smallacombe.
Mereka bangkit daripada kekalahan 3-6 pada set pertama untuk mencatat kemenangan dominan 10-0 sebelum menoktahkan aksi menerusi tie-break 1-0.
Sementara itu, Malaysia A pula meraih kemenangan menerusi Izzat Shameer dalam acara lelaki perseorangan selepas menewaskan Shannon McIlroy dari New Zealand Silver.
Izzat memenangi set pertama 5-2 sebelum tewas 1-5, namun memastikan kemenangan 1-0 dalam penentuan tie-break untuk mengesahkan mata berharga buat pasukan negara.
Kemenangan itu meletakkan Malaysia A di kedudukan kedua dengan 24 mata, jumlah sama diraih New Zealand Silver yang berada di tempat ketiga berdasarkan perbezaan keputusan keseluruhan.
Malaysia C pula melakar kejutan dalam acara pairs wanita menerusi gandingan Nur Syafira Mohamad Rezuan dan Nurul Balqis,
Mereka menewaskan juara Piala Dunia tahun lalu dari Hong Kong, Chery Chan-Helen Cheun dengan keputusan 6-4, 5-6 sebelum memastikan kemenangan 3-0 dalam penentuan tie-break.
Dalam pada itu, ketua jurulatih boling padang kebangsaan, Fairul Izwan Abd Muin menyifatkan empat kemenangan pada hari terakhir itu sebagai satu permulaan positif dalam tugasan pertamanya selepas mengambil alih pasukan kebangsaan.
“Alhamdulillah, empat kemenangan hari ini. Saya ingin berterima kasih kepada atlet-atlet kebangsaan ini. Mereka melakukan yang terbaik untuk diri mereka sendiri.”
“Ini adalah tugasan pertama saya dan boleh dikatakan satu tugas yang berat kerana kita ada perjuangan Commonwealth di hadapan. Banyak lagi yang perlu difikirkan dan dilakukan. Ini hanya permulaan,” katanya.
Dalam kejohanan itu, Malaysia selaku tuan rumah menghantar tiga pasukan berbeza bagi memberi pendedahan kompetitif kepada lebih ramai pemain kebangsaan.