
KUALA LUMPUR, 26 Mac – Penyerang Negeri Sembilan FC (NSFC) Luqman Hakim Shamsudin enggan mensia-siakan peluang sekiranya diberikan kesempatan beraksi menentang Vietnam pada perlawanan terakhir Kumpulan F pusingan Kelayakan Piala Asia 2027 di Nam Dinh pada 31 Mac ini.
- Kepercayaan ketua jurulatih Peter Cklamovski melonjakkan keyakinan Luqman untuk membantu menewaskan Vietnam walaupun peluang ke Piala Asia sudah tertutup.
- Perlawanan menentang Vietnam penting bagi maruah negara dan sasaran peribadi Luqman ialah meraih kemenangan.
- Minit permainan bersama NSFC (22 penampilan, 6 gol, 1,659 minit) meningkatkan prestasi serta membuka peluang panggilan semula ke Harimau Malaya.
Luqman Hakim yang kembali menyarung jersi skuad kebangsaan selepas kira-kira empat tahun berkata kepercayaan yang diberikan ketua jurulatih Peter Cklamovski melonjakkan keyakinannya untuk membantu rakan sepasukan menumpaskan tuan rumah di Stadium Thien Truong, walaupun peluang ke saingan akhir Piala Asia 2027 sudah tertutup.
“Bagi saya, perlawanan menentang Vietnam amat penting kerana ini soal maruah negara. Sasaran peribadi saya sudah tentu meraih kemenangan, insya-Allah,” katanya dalam satu video yang dikongsi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kepada media hari ini.
Pemain berusia 24 tahun itu kali terakhir beraksi bersama skuad kebangsaan ketika perlawanan persahabatan menentang Singapura pada Mac 2022.
Bekas pemain muda sensasi negara itu juga bertekad untuk mencetuskan impak pada penampilannya menentang Vietnam sebagai usaha menambat hati barisan kejurulatihan Harimau Malaya agar terus memilihnya pada masa depan.
Dalam pada itu, Luqman Hakim mengakui minit permainan yang cukup bersama NSFC pada saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini berjaya meningkatkan prestasi dan keyakinan di atas padang, sekali gus membuka peluang dipanggil semula menyertai Harimau Malaya.
Setakat ini, beliau telah melakukan sebanyak 22 penampilan, menyumbang enam gol dan mengumpul 1,659 minit permainan bersama NSFC dalam saingan Liga-M musim ini. – BERNAMA