
MONACO, 18 Februari – Juara bertahan, Paris Saint-Germain (PSG) bangkit daripada permulaan hambar apabila menang 3-2 terhadap Monaco dalam aksi pertama play-off Liga Juara Eropah di Stade Louis II, pada Selasa.
- PSG bangkit daripada ketinggalan 0-2 untuk menang 3-2 ke atas Monaco dalam perlawanan play-off Liga Juara Eropah.
- Masuknya Desire Doue mengubah permainan; beliau menjaringkan dua gol dan membantu gol penyamaan Achraf Hakimi.
- Monaco beraksi dengan 10 pemain selepas kad merah kepada Aleksandr Golovin, memberi kelebihan menjelang aksi timbal balik.
Bermain sebagai pasukan pelawat, PSG ketinggalan seawal 55 saat selepas penyerang Amerika Syarikat, Folarin Balogun, meletakkan tuan rumah, Monaco di depan sebelum menggandakan kelebihan pada minit ke-18, bagi menjadikan kedudukan 2-0.
PSG terus tertekan apabila Vitinha gagal menyempurnakan sepakan penalti selepas percubaannya diselamatkan penjaga gol Monaco, Philipp Koehn.
Keadaan bertambah buruk apabila pemenang Ballon d’Or tahun lalu, Ousmane Dembele, terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan ketika perlawanan memasuki 30 minit.
Namun kemasukan Doue mengubah segalanya.
Beliau menjaringkan gol pertama PSG pada minit ke-29 sebelum membantu menghasilkan gol penyamaan menerusi Achraf Hakimi beberapa minit sebelum rehat.
Monaco kemudian terpaksa beraksi dengan 10 pemain apabila Aleksandr Golovin dilayangkan kad merah sejurus babak kedua bermula.
Doue memastikan kemenangan PSG dengan gol kedua peribadinya pada minit ke-67.
“Dia pemain luar biasa dan berbeza. Saya sangat gembira untuknya kerana dia memang layak,” kata jurulatih PSG, Luis Enrique kepada Canal Plus.
“Kami sentiasa berada di bawah tekanan untuk menang dan kami sukakan tekanan itu, tetapi ada detik sukar dalam perlawanan yang perlu diatasi”, ujar Enrique.
Keputusan itu memberi kelebihan tipis kepada PSG menjelang aksi timbal balik di Paris minggu depan, dan mereka kini dilihat sebagai pilihan utama untuk mara ke pusingan 16 terbaik.
PSG kini hanya perlu mempertahankan kelebihan satu gol di Paris, dengan pemenang pertemuan bakal berdepan sama ada Barcelona atau Chelsea. -AFP